GEORGE TOWN: Kajian Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) sebagai panduan mitigasi atau penyelesaian jangka panjang isu hakisan pantai termasuk di Batu Ferringhi masih berjalan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ooi Soon Lee memaklumkan, buat masa ini ISMP tersebut dalam peringkat kajian penuh sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh.
“Berdasarkan kemajuan terkini, kami jangkakan kajian tersebut akan siap pada 23 Jun 2027,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Difahamkan, kajian itu menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam mengenal pasti pantai-pantai berisiko mengalami hakisan supaya perancangan dan pelaksanaan kerja-kerja pencegahan dapat dibuat lebih sistematik dan menyeluruh.
Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan, Batu Ferringhi yang juga merupakan kawasan peranginan terkenal di pesisir barat laut Pulau Pinang dan pernah mendapat jolokan Lovers’ Isle atau Pulau Kekasih itu kini berdepan ancaman akibat isu hakisan pantai yang tidak terkawal ketika ini.
Menurut jurucakap Pertubuhan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI), Andrew Han, andai isu tersebut berlarutan dan gagal ditangani dengan secara mampan, imej dan daya saing destinasi itu sebagai lokasi pelancongan bertaraf antarabangsa boleh terjejas dalam jangka panjang.
Soon Lee berkata, JPS Pulau Pinang ketika ini dalam proses menyelaras serta melantik kontraktor secara berperingkat bagi melaksanakan kerja-kerja mitigasi sementara di kawasan yang terjejas akibat hakisan khususnya di pantai Batu Ferringhi.
Beliau berkata, ia termasuk kerja-kerja untuk meninggikan beg pasir sedia ada di kawasan-kawasan yang berisiko seperti yang dicadangkan sebelum ini.
“Pelaksanaan langkah ini bertujuan mengurangkan impak hakisan pantai secara sementara sebelum pelaksanaan penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan,” katanya.-UTUSAN











