Tune Protect, Verdant Solar lancar model solar kediaman dengan insurans

Tune Protect, Verdant Solar lancar model solar kediaman dengan insurans

HANS-joachim Zimmermann (kiri) bersama Zeth Lim (kanan) pada gimik Majlis Pelancaran Model Solar Kediaman Berintegrasi Pertama di Malaysia di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tune Protect Malaysia (Tune Protect) menjalin kerjasama strategik dengan Verdant Solar Sdn. Bhd. (Verdant Solar) bagi memperkenalkan model solar kediaman berintegrasi pertama di Malaysia, menggabungkan pemasangan sistem solar dengan perlindungan insurans.

Inisiatif itu bertujuan menggalakkan penggunaan solar bumbung dalam kalangan pemilik rumah serta menyokong peralihan negara ke arah tenaga bersih.

Wakil Lantikan Tune Protect Malaysia, Hans-Joachim Zimmermann berkata, pelancaran tersebut mencerminkan pendekatan baharu dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia di peringkat isi rumah.

“Apabila lebih ramai pemilik kediaman meneroka solar bumbung, pelaburan jangka panjang mereka perlu disokong perlindungan yang memberi ketenangan fikiran.

“Di Tune Protect, kami percaya insurans memainkan peranan penting dalam memacu kelestarian dengan memberi keyakinan kepada masyarakat untuk mengamalkan penyelesaian mampan,” katanya pada majlis kerjasama antara Tune Protect dan Verdant Solar di sini, semalam.

Beliau berkata, Tune Protect memperkukuh strategi kelestariannya melalui rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menekankan tadbir urus bertanggungjawab, amalan perniagaan lestari, pemeliharaan alam sekitar dan impak komuniti.

Katanya, syarikat turut menetapkan Pelan Hala Tuju Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan 2 menjelang 2050 serta komitmen portfolio tanpa arang batu sejak Ogos 2023.

“Sistem solar merupakan pelaburan jangka panjang, namun terdedah kepada risiko seperti ribut, kilat atau objek jatuh.

“Walaupun waranti melindungi kecacatan, ia tidak meliputi kerosakan tidak disengajakan atau kehilangan penjimatan elektrik,” katanya.

Kerjasama itu menggabungkan kepakaran Verdant Solar dalam pemasangan solar bumbung kediaman dengan perlindungan insurans Tune Protect, sekali gus menawarkan pengalaman penggunaan solar yang lebih selamat kepada pelanggan.

Seiring usaha Malaysia mempercepatkan peralihan tenaga melalui inisiatif seperti Program Tindakan Peralihan Solar Dipercepatkan (Solar ATAP), minat terhadap solar kediaman terus meningkat.

Namun begitu, lebih 97 peratus rumah di Malaysia masih belum memasang solar bumbung, menunjukkan potensi besar untuk memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui di peringkat isi rumah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Verdant Solar, Zeth Lim berkata, kerjasama tersebut menyepadukan perlindungan insurans dengan pemasangan solar bumbung bagi meningkatkan keyakinan pengguna.

“Lebih 97 peratus isi rumah di Malaysia masih belum memasang solar walaupun negara mempunyai cahaya matahari yang tinggi serta inisiatif sokongan seperti Solar ATAP.

“Kerjasama ini bertujuan menjadikan solar pilihan yang lebih selamat dan mudah diakses oleh pemilik kediaman,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 hingga 30,000 rumah memasang sistem solar itu setiap tahun.

“Ini merupakan kumpulan pelanggan yang besar dan berpotensi.

“Dengan penyelesaian yang ditawarkan oleh Tune Protect dari segi harga serta perlindungan insurans, kami percaya ia antara yang terbaik di pasaran dan berupaya menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

Melalui kerjasama itu, pemilik kediaman yang memasang sistem solar melalui Verdant Solar akan menerima perlindungan insurans daripada Tune Protect sebagai sebahagian daripada pakej bersepadu.

Perlindungan tersebut meliputi kerugian atau kerosakan tidak disengajakan akibat ribut, kebakaran atau kejadian lain yang tidak dijangka.

Ia turut merangkumi perlindungan kehilangan penjimatan elektrik akibat masa henti sistem berpunca daripada kerosakan yang diinsuranskan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN