KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad, memberi penjelasan berhubung dakwaan dia memiliki sebidang tanah seluas empat ekar di Raub, Pahang.
Tidak menafikan perkara itu, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 43, berkata, dia bersyukur dikurniakan seorang isteri yang cekap dan berdisiplin dalam menguruskan kewangan keluarga.
Menurutnya, segala kesenangan dan kemewahan yang dikecapi hari ini bukanlah hasil usahanya seorang, sebaliknya berpunca daripada perancangan kewangan isterinya, Zira Ayub, yang teratur dan bijak.
“Saya tidak boleh ambil kredit sepenuhnya kerana ‘menteri kewangan’ saya pun ada di sini. Dialah yang banyak memberi idea dan menyusun perancangan.
“Saya sangat bersyukur mempunyai isteri yang pandai menguruskan kewangan. Apa yang orang nampak hari ini adalah hasil pengurusan kewangan yang baik daripada isteri,” katanya.
Nabil berkata demikian ketika ditemui pemberita pada pertunjukan fesyen Raya Jakel 2026 yang berlangsung di sini, semalam.
Nabil turut memaklumkan, sepanjang tempoh perkahwinan mereka, Zira memainkan peranan penting dalam menyusun kewangan rumah tangga sehingga membolehkan mereka memiliki beberapa aset bernilai tinggi.
“Zira yang menyusun keutamaan, menentukan mana yang perlu dibayar, disimpan dan dilaburkan sepanjang kami berkahwin,” katanya.
Sementara itu, Zira mengakui suaminya seorang yang gemar berbelanja, sekali gus mendorongnya untuk lebih tegas dan berdisiplin dalam menguruskan kewangan keluarga.
“Dia memang kuat berbelanja. Kalau duit masuk hari ini, hari ini juga boleh habis,” katanya berseloroh.
Untuk rekod, Nabil mendirikan rumah tangga dengan Zira atau nama sebenarnya Nazirah Ayub pada 30 September 2011. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Naira Mikayla, 14, Layla Medyna, 11, dan Mishall Imani, 7 tahun.










