Walaupun mangsa bukan anak saya, perbuatan itu memang menyakitkan hati - Intan Najuwa

Walaupun mangsa bukan anak saya, perbuatan itu memang menyakitkan hati – Intan Najuwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Intan Najuwa meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap kes penderaan beberapa bayi berusia antara enam hingga sembilan bulan yang dipercayai dilakukan oleh seorang pengasuh wanita di sebuah taska di Alam Indah.

Menerusi luahan di media sosial, Intan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan menegaskan individu terlibat wajar dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

“Walaupun bukan anak saya yang menjadi mangsa, perbuatan seperti ini memang sangat menyakitkan hati.

“Tidak wajar sama sekali seorang pengasuh memperlakukan bayi dengan kasar. Orang seperti ini sepatutnya disumbat ke dalam penjara,” katanya dalam hantaran di Threads.

Intan turut menegaskan bahawa kebanyakan ibu bapa, khususnya golongan ibu, bukan dengan sengaja meninggalkan anak mereka kepada pengasuh, sebaliknya terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup dan masa depan anak-anak.

“Tiada ibu yang suka-suka mahu keluar bekerja dan meninggalkan bayi mereka. Kebanyakan mereka benar-benar tiada pilihan.

“Ini soal kelangsungan hidup dan masa depan anak mereka. Jadi, tolonglah ada sedikit empati,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Racun Rihanna itu turut mengingatkan individu yang berminat untuk menjadi pengasuh supaya memastikan tahap kesihatan mental berada dalam keadaan baik.

Selain itu, katanya, individu itu juga harus benar-benar mampu menggalas tanggungjawab menjaga kanak-kanak, khususnya bayi.

“Kalau rasa tidak mampu mengawal emosi atau tekanan, lebih baik cari pekerjaan lain. Jangan aniaya anak orang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Intan turut menggesa pihak berkuasa supaya tidak berkompromi dalam menangani kes penderaan kanak-kanak dan memastikan semua individu terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Saya berharap pihak berkuasa tidak melepaskan mereka yang bersalah. Mereka wajar dihukum atas perbuatan kejam yang telah dilakukan,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita mendakwa trauma selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular dalam media sosial memaparkan anaknya berusia enam bulan dicampak, digolek dan ditampar oleh pengasuh di TASKA terbabit.

Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai serta kebimbangan ibu bapa lain, di samping terdapat dakwaan bahawa beberapa bayi lain turut menjadi mangsa di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN