KUALA LUMPUR: Menyambut ulang tahun perkahwinan ke-12, pelakon, Rozita Che Wan meluahkan isi hati menerusi sebuah nukilan istimewa buat suami tercinta, aktor, Zain Saidin.
Menerusi hantaran di Instagram, Rozita atau mesra disapa Che Ta, 52, menyifatkan Zain sebagai pasangan hidup yang sentiasa menjadi tempat berteduh buat dirinya.
Menurut Rozita, sepanjang 12 tahun perkahwinan, hubungan mereka melalui pelbagai fasa yang ada ketika sukar dan mencabar, namun semuanya ditempuhi dengan kejujuran dan ketulusan.
“Dua belas tahun, sayang (15 tahun kenal, lama betul) dan entah bagaimana hati ini masih membisikkan nama yang sama setiap kali ia mencari ketenangan.
“Kita sudah melalui satu perjalanan yang bukan selalu mudah, tapi sentiasa jujur. Sentiasa tulus, sentiasa kita berdua, saling menggenggam tangan.
“Bila dunia jadi susah, awaklah tempat hati ini pergi untuk berehat. Bila badai datang, awaklah ketenangan yang membawa saya kembali. Awak melihat saya pada saat saya paling kuat, awak juga memeluk saya pada saat paling lemah dan mencintai saya dengan cara yang menyembuhkan bahagian diri saya yang saya sendiri tidak sedar memerlukan penyembuhan,”katanya.
Menerusi luahan yang sama, Rozita mengucapkan terima kasih kepada Zain kerana memilih untuk melalui kehidupan bersama dan mencintainya dengan sepenuh hati.
Selain itu, Rozita berkata jika diberi peluang untuk hidup seribu kali sekalipun, dia tetap akan memilih Zain dalam setiap kehidupan.
“Terima kasih kerana memilih kehidupan ini bersama saya. Kerana mencintai saya dengan lembut. Kerana tetap teguh ketika segala-galanya terasa tidak pasti.
“Selamat ulang tahun perkahwinan ke-12, sayang. Jika saya dapat hidup seribu kali pun, saya akan tetap mencari awak dalam setiap kehidupan dan saya tetap akan memilih awak,”katanya.
Imbas kembali, Rozita dan Zain mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang berusia 10 tahun.
Rozita juga memiliki dua anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.










