KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan Anugerah Akhir bernilai AS$14.9 bilion oleh kumpulan menggelarkan diri sebagai penuntut Sulu merupakan kemenangan besar dan muktamad bagi Malaysia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu sekali lagi mengesahkan pendirian Sabah yang tidak pernah berkompromi dalam mempertahankan kedaulatan negeri.
“Saya menyatakan sebelum ini, kita akan mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia, dan kita tidak akan sesekali melayan tuntutan sedemikian.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember lalu sekali lagi membuktikan pendirian Sabah selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Bilik Gerakan Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia berhubung keputusan mahkamah berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Rayuan Paris memutuskan bahawa pemegang timbang tara, Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Anugerah Akhir’ bernilai AS$14.9 bilion itu.
Mahkamah itu juga mendapati tiada perjanjian timbang tara sah yang boleh mengikat Malaysia.
Hajiji dalam pada itu turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi menangkis sebarang tuntutan serupa pada masa hadapan.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha gigih mereka dalam mempertahankan kedaulatan Sabah,” katanya. – UTUSAN







