LONDON: Sophie Kinsella, penulis terkenal di sebalik siri buku popular ‘Shopaholic’ meninggal dunia pada usia 55 tahun.
Beliau sebelum ini didiagnosis menghidap kanser otak agresif pada tahun 2022.
Watak utama ‘Shopaholic’, Becky Bloomwood, seorang wartawan kewangan yang ketagih membeli-belah dan tidak pandai mengurus duit turut diadaptasi ke layar perak menerusi filem ‘Confessions of a Shopaholic’, lakonan aktres Australia, Isla Fisher pada 2009.
Berita pemergian penulis yang nama sebenarnya Madeleine Sophie Wickham itu diumumkan keluarganya dalam satu kenyataan di akaun Instagramnya pada Rabu.
“Kami amat berduka cita mengumumkan pemergian tercinta Sophie pada pagi ini. Beliau pergi dengan tenang, melalui hari-hari terakhirnya dikelilingi perkara yang paling beliau cintai iaitu keluarga, muzik, kehangatan, Krismas dan kegembiraan.
“Kami tidak dapat membayangkan bagaimana hidup tanpa cahaya dan kegembiraan yang selalu dibawanya. Walaupun diuji penyakit yang ditanggung dengan keberanian luar biasa, Sophie tetap merasa dirinya sangat bertuah kerana mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang hebat, serta kejayaan luar biasa dalam kerjayanya sebagai penulis.
“Beliau tidak pernah menganggap apa-apa sebagai perkara remeh dan sentiasa bersyukur atas kasih sayang yang diterimanya. Kehilangannya amat dirasakan hingga hati kami hancur,” tulis kenyataan itu.
Walaupun didiagnosis tiga tahun lalu, Kinsella hanya memaklumkan perkara itu kepada para peminat pada April tahun lepas melalui media sosial. Beliau berkata dirinya menghidap glioblastoma, iaitu sejenis kanser otak agresif, namun menjelaskan bahawa beliau telah menjalani pembedahan diikuti rawatan radioterapi dan kemoterapi yang ketika itu masih berterusan.
Pelbagai penghormatan dan ucapan takziah membanjiri ruang komen keluarga Kinsella, termasuk daripada rakan-rakan penulis terkenal.
Menurut laman webnya, lebih 50 juta naskhah buku tulisan Kinsella telah terjual di seluruh dunia dan diterjemahkan ke dalam lebih 40 bahasa di lebih 60 negara.
Buku terbaharunya, ‘What Does It Feel Like?’ yang ditulis selepas pembedahannya dan diterbitkan tahun lalu, merupakan sebuah novel yang diinspirasikan daripada pengalamannya menghadapi kanser.










