KUALA LUMPUR: Pelakon teater, Saiful Wazien tampil mendedahkan dirinya menjadi mangsa serangan seksual oleh seorang lelaki yang didakwa sebagai pempengaruh dalam industri teater.
Menurut Saiful, kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari Kedah ke Kuala Lumpur selepas selesai pementasan teater.
Katanya, dia singgah berehat di sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sebelum tertidur di dalam kereta akibat keletihan melampau selepas memandu jarak jauh.
“Ketika itu saya terlalu penat dan tertidur tanpa sedar. Apabila tersedar, saya dapati sesuatu yang tidak sepatutnya telah berlaku ke atas diri saya,” katanya.
Saiful yang pernah terlibat dalam produksi Pendekar Awang mengakui insiden tersebut memberi kesan trauma yang mendalam terhadap dirinya.
Lebih mengejutkan, jelas Saiful, dia pada awalnya keliru sama ada kejadian berkenaan benar-benar berlaku atau sekadar mimpi akibat keletihan.
“Perkara itu sangat mengejutkan saya. Dalam keadaan masih mamai, saya tetap menghantarnya pulang.
“Ketika itu saya tertanya-tanya sama ada apa yang berlaku itu nyata atau hanya mimpi,” katanya.
Susulan kejadian tersebut, Saiful bertindak menyekat individu berkenaan daripada sebarang bentuk komunikasi.
Namun, trauma itu kembali menghantuinya apabila dia terserempak semula dengan lelaki terbabit kira-kira sebulan kemudian.
Apa yang lebih merisaukan, menurutnya, individu tersebut merupakan figura yang dikenali dalam industri teater dan sering terlibat memberikan pandangan serta ulasan berkaitan dunia seni.
“Perkara ini membuatkan saya bimbang sekiranya ia turut melibatkan rakan-rakan lain dalam industri. Saya tidak tahu berapa ramai yang mungkin pernah menjadi mangsa sebelum ini atau selepas ini,” ujarnya.
Saiful berkata, dia tidak berasa malu untuk berkongsi perkara itu secara terbuka kerana mahu masyarakat lebih peka serta berani mengambil tindakan tegas sekiranya berdepan situasi sama.
“Saya juga bimbang sekiranya rakaman atau perkara tidak baik yang melibatkan maruah saya disalahgunakan. Ini adalah satu aib yang sangat berat untuk ditanggung,” katanya.
Sehubungan itu, Saiful memaklumkan bahawa dia telah membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.










