KUALA LUMPUR : Pelakon, Zed Zaidi sekali lagi diberi kepercayaan memimpin Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) selepas berjaya mempertahankan jawatan Presiden bagi penggal 2025 hingga 2028.
Pemilihan kepimpinan itu berlangsung sempena Mesyuarat Agung Tahunan Seniman kali ke-24 yang diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee, Filem Kemajuan Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang, Selangor, semalam.
Zed atau Rozaidi Jamil, 45, memenangi pertandingan dua penjuru, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Seniman untuk satu lagi penggal.
Mesyuarat berkenaan berjalan lancar dengan kehadiran seramai 156 ahli dan melayakkan mesyuarat tersebut dijalankan mengikut perlembagaan persatuan.
Dalam mesyuarat itu, ahli-ahli Seniman turut membuat penilaian terhadap kepimpinan terdahulu sebelum melakukan pengundian bagi memilih barisan kepimpinan baharu yang akan menerajui persatuan bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Selain Zed, barisan kepimpinan baharu Seniman turut menyaksikan pelantikan Cik Rena Tan sebagai Timbalan Presiden, manakala Tuan Haji Hafiz Nafiah dipilih sebagai Setiausaha Agung.
Jawatan Penolong Setiausaha pula disandang oleh Salman Al-Farisi, sementara Puan Zarina Mohd Nor dilantik sebagai Bendahari.
Bagi jawatan Ahli Jawatankuasa, tujuh individu terpilih iaitu Datuk Subash Sundamoorty, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Zamshuri Ramli, Lisdawati, Ezlynn Arifin, Zizan Nin dan Marisa Yasmin.
Sementara itu, Samsuri dan Sharifah Muhamad masing-masing dipilih sebagai Pemeriksa Kira-kira.
Seniman dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli yang hadir serta memberi sokongan terhadap persatuan, selain berharap barisan kepimpinan baharu dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh integriti dan tanggungjawab.










