KUALA LUMPUR: Pengacara popular, Keanu Azman mengakui pernah ditegur oleh seorang individu yang menyarankannya agar menampilkan imej lebih menyerlah ketika mengendalikan program sendiri termasuk menghadiri sebarang acara atau majlis.
Menurut Keanu, individu terbabit menyatakan bahawa dia sepatutnya memilih pakaian yang lebih menonjol berbanding sekadar berpenampilan kemas dan sederhana seperti kebiasaan.
Bagaimanapun, selepas meneliti perkara itu, Keanu berkata, dia mengambil keputusan untuk kekal dengan pendirian sendiri.
“Terus-terang, saya selesa dengan imej yang sederhana dan sopan.
“Sebagai seorang Muslim, kita tidak digalakkan untuk menarik perhatian secara berlebihan sama ada melalui pakaian, bau-bauan atau cara bercakap,” katanya di Threads.
Bagaimanapun, Keanu turut mengakui bahawa penampilan merupakan salah satu elemen penting dalam industri hiburan.
Namun, dia lebih selesa mengekalkan gaya berpakaian yang bersesuaian dengan keperibadian dan prinsip hidupnya.
“Saya tetap berusaha untuk kelihatan kemas dan profesional.
“Tetapi bagi saya, yang paling utama adalah hasil kerja. Biarlah kerja saya yang bercakap. Penampilan yang terlalu keterlaluan itu bukan diri saya,” jelasnya.
Pendekatan yang diambil oleh Keanu itu turut menerima sokongan daripada peminat yang menghargai kejujuran serta pendiriannya dalam menjaga imej diri sepanjang bergelar pengacara.










