PETALING JAYA: Kawasan Selayang Baru yang digempur oleh tujuh agensi penguat kuasa pada Jumaat lalu bagi menghapuskan lokasi panas warga asing sekitar Pasar Selayang dan Pasar Tani Selayang telah diselaraskan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, menerusi operasi sama, JIM hanya memeriksa dokumen terhadap warga asing bagi memastikan mereka mempunyai dokumen yang sah termasuk kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Katanya, mana-mana warga asing yang mempunyai dokumen yang sah termasuk kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tiada kesalahan Imigresen yang boleh diambil tindakan.
“Bagi aktiviti perniagaan yang dijalankan adalah di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasa lain seperti Pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sabtu lalu, seramai 843 disyaki PATI termasuk 35 wanita ditahan hasil pemeriksaan 1,116 individu oleh JIM.
Pecahan yang ditahan ialah 647 orang warga Myanmar, Nepal (102 orang), Bangladesh (79 orang), Indonesia (15 orang) serta India (10 orang).
Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 53 tahun disyaki melakukan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa serta pemegang kad yang tidak diiktiraf.
Serbuan itu susulan aduan awam yang resah dengan lambakan warga asing serta aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan.
Operasi ini merupakan ingatan tegas kepada semua, termasuk warga tempatan yang menggajikan PATI supaya mematuhi undang-undang. – UTUSAN










