KUALA LUMPUR : ‘Perseteruan’ antara dua tokoh akademik yang mengepalai MUAFAKAT Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor dengan selebriti, Rita Rudaini, mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi.
Menerusi perkongsian di Facebook, Asyraf berkata, pihaknya mengambil maklum isu saman fitnah yang dikeluarkan oleh Muafakat kepada selebriti berkenaan.
Bagaimanapun, Asyraf mengambil jalan untuk mengatur pertemuan dengan kedua-dua pihak bagi menjernihkan keadaan.
“Peringkat awal saya tidak mahu campur isu perbalahan antara ibubapa pelajar MRSM.
“Namun atas rasa tanggungjawab saya akan panggil kedua-dua pihak bagi menjernihkan keadaan tidak sihat, bahkan tauladan yang tidak baik buat pelajar,”katanya dalam hantaran Facebook berkenaan.
Terdahulu, Ahad lalu, media melaporkan seorang tokoh akademik yang juga Yang Dipertua MUAFAKAT Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam,Selangor dan timbalannya nekad memfailkan saman sebanyak terhadap pelakon Rita Rudaini selepas RM1 juta notis tuntutan tidak dipatuhi.
Mohd Roslan Mohd Nor slaku plaintif pertama dan Saidah Haris @ Harith selaku plaintif kedua memfailkan saman itu terhadap defendan, Rita ataua nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates yang diwakili Datuk Adnan Seman pada 6 Disember lalu.
Menurut Adnan, kedua-dua plaintif memfailkan writ saman terhadap Rita selepas didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah yang dimuat naik melalui Instagram, WhatsApp dan platform lain.
Antara label fitnah yang dipersoalkan termasuk dakwaan plaintif-plaintif sebagai bongkak, narsisis, tidak professional, ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu, tidak layak memegang jawatan MUAFAKAT serta tuduhan salah urus wang ibu bapa.
Menurut Adnan, kedua-dua plaintif turut mendakwa defendan bertindak secara semberono dan dikatakan mempunyai niat jahat kerana memuat naik kenyataan tanpa semakan serta mempunyai kesan reputasi yang besar memandangkan jumlah pengikut defendan yang ramai.
Justeru katanya, plaintif menuntut perintah injunksi, memadam kenyataan fitnah, permohonan maaf secara video selama tiga bulan serta ganti rugi am, teruk, pengajaran, faedah 5% setahun dan kos tindakan.
Plaintif pertama merupakan pensyarah kanan Universiti Malaya dan ahli beberapa Majlis Agama Islam Negeri manakala plaintif kedua berkhidmat sebagai pensyarah cemerlang Institut Pendidikan Guru cawangan Ipoh, Perak, Munsyi Dewan Bahasa dan Panel Pembangunan Sijil Kemahiran Malaysia.










