Ngopi dan santap menu unik di Lily Coffee

Ngopi dan santap menu unik di Lily Coffee

Nasi Goreng Lily Cereng antara menu yang yang dtawarkan di Lily Coffee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAFE Lily Coffee di Sungai Petani hadir sebagai antara destinasi terbaharu pecinta kopi yang mengutamakan keselesaan, kualiti minuman serta pilihan makanan yang menyelerakan namun tidak merobek poket.
Dalam landskap gaya hidup urban hari ini, kafe tidak lagi berfungsi sekadar sebagai tempat menikmati kopi, sebaliknya berkembang menjadi ruang sosial, tempat bekerja dan lokasi pertemuan santai.

Menyedari keperluan itu, kafe tersebut yang dimiliki Lily Empire Venture tampil dengan konsep moden dan mesra pelanggan di tengah-tengah bandar sibuk, Sungai Petani.

Kafe ini mula beroperasi pada tahun lepas dan sejak itu mula mencuri perhatian pengunjung, khususnya golongan muda serta pecinta kopi yang mencari pengalaman berbeza daripada kafe konvensional.

Terdapat hampir 40 jenis minuman di kafe berkenaan termasuk sajian premium biji kopi Brazil seperti kebanyakan kafe popular bertaraf antarabangsa namun menu Lily Signature menjadi salah satu kegemaran pengunjung.
Lily Signature lemak manis kaya dengan aroma biji kopinya namun resipi rahsia di dalamnya menjadikan ia berbeza dengan minuman yang anda pernah minum di kafe lain.

Pemilik kafe ini, Nur Fatin Munira Anizar, 32, memberitahu, setiap kopi yang disediakan di Lily Coffee adalah rumusan daripada resipinya yang menceburi bidang makanan dan minuman sejak sedekad lalu bermula secara kecil-kecilan.

“Kafe ini dibangunkan dengan pengalaman dan minat saya yang bermula sebagai vendor minuman kopi di festival makanan pada 2022 sebelum tekad membuka kafe ini pada tahun lepas,” katanya ketika ditemui di kafe tersebut baru-baru ini.

Lily Coffee

Lokasi 28, Jalan Pengkalan Sungai Petani, Kedah
Operasi 11 pagi hingga
11 malam (Selasa tutup)

 

Nur Fatin graduan kulinari sebuah universiti tempatan mengusahakan kafe berkenaan bersama suami, Muhammad Shahir A Wah, 32, yang juga bekas pekerja perbankan.

Daripada segi penawaran kopi, selain Lily Signature kafe berkenaan menampilkan pelbagai pilihan minuman yang disediakan dengan penuh ketelitian. Antara minuman yang ditawarkan termasuk espresso klasik seperti cappuccino, latte dan americano, selain variasi kopi dengan gabungan rasa buah-buahan dan tidak ketinggalan latte berperisa serta teh.

Selain kopi, Lily Coffee turut menawarkan menu makanan sepanjang hari yang membolehkan pelanggan menikmati hidangan dari makanan pagi sehingga makan lewat malam pada bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu tertentu.

Menu yang disediakan merangkumi hidangan Barat seperti pelbagai jenis pasta, chicken chop, burger dan kentang bakar yang kaya dengan proteinnya.

Tidak ketinggalan menu unik seperti sajian fusion yang menggabungkan elemen tempatan dan antarabangsa.

Bagi yang meminati selera tempatan, nasi goreng turut disediakan dan Nasi Goreng Lily Cereng tampil dengan rasa berbeza. Nasi digoreng dengan petai dan dihidangkan dengan sambal dan tahu serta ayam goreng melengkapkan makan tengah hari pengunjung.

Mereka yang meminati cita rasa oriental boleh mencuba hidangan itik seperti carbonara, aglio olio dan nasi goreng dengan itik salai.

Setiap hidangan disajikan dengan penekanan terhadap rasa serta persembahan, namun masih mengekalkan elemen keselesaan dan kehangatan makanan buatan sendiri.

Dari segi reka bentuk dalaman, kafe ini menampilkan konsep moden minimalis dengan sentuhan elemen semula jadi, mewujudkan suasana tenang dan selesa.

Kehadiran Lily Coffee menambah satu lagi pilihan berkualiti dalam senarai kafe di negeri ini dengan penekanan terhadap kualiti kopi, menu makanan yang pelbagai serta suasana kondusif, kafe ini berpotensi menarik pengunjung daripada pelbagai lapisan.

Bagi yang mencari ruang santai untuk menikmati kopi sambil bekerja atau berehat daripada kesibukan kota, Lily Coffee menawarkan pengalaman yang seimbang antara keselesaan dan kualiti. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×