Hilang 40,000 pengikut di media sosial, Malia Baby enggan panik - Utusan Malaysia

Hilang 40,000 pengikut di media sosial, Malia Baby enggan panik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh media sosial, Malia Baby, mendedahkan, sejak kebelakangan ini, jumlah pengikutnya di Instagram berkurangan kira-kira 40,000 kini.

Menurut Malia, situasi itu tidak langsung membuatkannya panik, sebaliknya menjadi ruang untuk dia merenung kembali perjalanan dirinya sepanjang tahun ini.

Dia mengakui kurang aktif memuat naik kandungan bukan kerana tidak lagi menjalani kehidupan, tetapi kerana sedang melalui fasa krisis kewujudan yang panjang dan memenatkan.

“Tahun ini terasa agak berat. Saya terlalu selesa hidup dalam keadaan terputus hubungan, terlalu selesa berfikir secara berlebihan serta terlalu asyik menghurai perasaan sendiri tanpa benar-benar menghadapinya.

“Semua itu tidak membantu saya untuk berkembang,” katanya di Instagram Story baru-baru ini.

Bagaimanapun, ujar Malia, setahun yang ‘senyap’ tidak bermakna seseorang itu gagal atau hilang arah.

Sebaliknya, katanya, ia menjadi petunjuk kepada perkara yang perlu diperbaiki.

“Kehilangan setahun bukan bermaksud kehilangan diri. Tahun yang sunyi tidak menjadikan kita gagal.

“Kadang-kadang ia sekadar menunjukkan apa yang perlu diubah. Dan perubahan hanya berlaku apabila kita benar-benar mahu mencuba,” jelasnya.

Malia turut mengakui 2025 bukanlah tahun terbaik buat dirinya, namun tetap sarat dengan pengajaran.

Menjelang 2026, Malia berkata, dia berhasrat untuk kembali ‘hadir’ demi dirinya sendiri dan tidak lagi membiarkan identiti sebagai pencipta kandungan menguasai seluruh hidupnya.

“Menjadi seorang pencipta bahan kandungan tidak seharusnya menelan identiti diri. Saya hampir membiarkannya berlaku, tetapi kini saya belajar membezakan siapa diri saya dan apa yang saya lakukan. Itu sendiri sudah satu kemenangan,” katanya lagi.

Meneruskan azam baharu, Malia berharap tahun depan membawa lebih usaha, pertumbuhan, hubungan dan ruang untuk benar-benar hidup dengan penuh keikhlasan.

Katanya ia termasum sebagai seorang pencipta kandungan, seorang Muslimah yang berusaha sebaiknya, seorang anak, sahabat, dan seorang wanita yang sedang belajar memahami erti hidup.

“Semoga Allah memudahkan, membimbing niat saya, dan mengizinkan saya berkembang tanpa mengambil sesuatu perkara sebagai remeh.

“Ini perjalanan untuk belajar, menangis, ketawa, mencuba lagi dan mencuba dengan lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN