KUALA LUMPUR : Genap empat bulan pemergian bapa tercinta, penyanyi, Ziana Zain, reda dengan ketentuan takdir apabila ibunya pula, Allahyarham Robiah Abdul, menyusul pulang ke negeri abadi.
Menurut Ziana, ibunya yang berusia 74 tahun meninggal dunia pada pukul 10.42 malam tadi di Hospital Klang.
Kata Ziana, punca kematian adalah kerana Allahyarham menghidap penyakit kanser hati yang telah merebak ke organ dalaman.
“Jenazah mak masih di Hospital Klang dan saya sekeluarga masih menunggu untuk pengurusan kematian.
“Mak menghidap kanser hati dan sudah merebak ke usus dan buah pinggang. Senang cerita sudah merebak ke seluruh organ dalaman.
“Insya-Allah, jenazah akan dikebumikan pagi ini (Khamis) dalam sekitar 10 pagi di masjid,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, malam tadi.
Terdahulu, bapa kepada penyanyi Ziana dan Anuar Zain, Zain @ Zin Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun pada 26 Ogos lalu.










