KUALA LUMPUR: Populariti lagu hit Mimpi terus mengukuhkan kedudukan penyanyi, Haqiem Rusli dalam industri seni tanah air apabila karya tersebut menerima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Pengiktirafan itu diberikan selepas single berkenaan mencatat pendapatan melebihi RM100,000 menerusi penstriman digital, sekali gus membuktikan kekuatan komersialnya sejak dilancarkan lima tahun lalu.
Menurut RIM, jumlah pendapatan tersebut disahkan melalui proses audit berdasarkan data muat turun serta jumlah strim audio dan video daripada platform digital berkaitan.
Pensijilan itu juga mencerminkan sokongan berterusan peminat terhadap produk muzik tempatan di peringkat nasional dan serantau.
Mimpi ciptaan bersama Haqiem dan penerbit drama terkenal, Datuk A. Aida, diterbitkan oleh FMC Music dan mula dipasarkan dalam bentuk digital pada 15 Disember 2020.
Video muzik rasminya pula dimuat naik ke YouTube pada 7 Januari 2021 dan segera meraih hampir satu juta tontonan dalam tempoh beberapa hari, sekali gus menduduki carta trending platform tersebut.
Pengerusi RIM, Encik Rosmin Hashim, berkata, pengiktirafan itu membuktikan karya tempatan mampu mencipta impak besar dalam pasaran digital.
“RIM sentiasa menghargai artis serta label yang berjaya menembusi pencapaian komersial membanggakan.
“Pensijilan lagu Mimpi ini adalah bukti kukuh penerimaan peminat di dalam dan luar negara. Tahniah kepada Haqiem dan FMC Music atas dedikasi mereka,” katanya.
Sementara itu, Haqiem menzahirkan rasa syukur atas penghargaan itu.
“Saya amat berbangga menerima pengiktirafan ini. Mimpi sangat dekat di hati saya dan kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan FMC Music, pasukan saya dan para pendengar,” ujarnya.
Pengurus PR FMC Music pula menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan terhadap kerja keras seluruh pasukan.
“Mimpi lahir daripada jiwa dan dedikasi Haqiem. Pengiktirafan ini membuktikan setiap nota dan liriknya benar-benar menyentuh hati pendengar,” katanya.
Anugerah Jualan RIM merupakan antara pengiktirafan paling dihormati dalam industri muzik, diberikan kepada single dan album yang mencapai tahap jualan atau penstriman luar biasa.
Antara penerima terdahulu termasuk:
• Fazura – Album ‘Fazura’ (Platinum/Emas, 2017)
• MOJO – Andaiku Bercinta Lagi (5× Platinum, 2013)
• Datuk Seri Siti Nurhaliza – Pelbagai album menerima pensijilan Platinum sepanjang tahun 2000-an










