KUALA LUMPUR: Arena sukan tanah air menyaksikan satu lagi fenomena baharu apabila sukan pickleball semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, termasuk selebriti tempatan yang kini tampil menjadikan sukan itu sebagai rutin gaya hidup sihat.
Ahli kumpulan DeFam, Cik Manggis, antara selebriti yang dilihat semakin serius menceburi sukan berkenaan apabila bukan sahaja aktif bermain, malah sanggup mendapatkan khidmat jurulatih bagi meningkatkan tahap permainannya.
Menurut Cik Manggis, minatnya terhadap pickleball bermula sejak Oktober tahun lalu dan kini menjadi antara aktiviti utama yang membantunya mengekalkan tahap kesihatan yang lebih baik.
“Saya memang seorang yang aktif sejak di bangku sekolah lagi. Bila masuk tempoh PKP, saya mula rasa badan tidak sihat dan sedar saya perlu kembali bersukan.
“Apabila pickleball mula diperkenalkan di Malaysia, saya terus mencuba dan sejak itu kesihatan saya semakin baik.
“Walaupun sukan ini masih baharu, saya nampak ada peluang dan tidak mustahil untuk saya menjadi antara pemain pickleball terbaik Malaysia,” katanya ketika ditemui pada acara Selkirk Fans Social Tournament, baru-baru ini.

Kata Cik Manggis, bermula Januari lalu, dia mengambil langkah lebih serius dengan mendapatkan jurulatih peribadi bagi memperbaiki teknik serta tahap kecergasan.
Dalam perkembangan sama, arena pickleball Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting apabila jenama antarabangsa Selkirk secara rasmi melancarkan aktivasi jenama pertamanya di negara ini menerusi kerjasama dengan rakan tempatan, DINKLAB.
Pelancaran itu bukan sahaja menandakan kemasukan rasmi Malaysia ke dalam rangkaian global Selkirk, malah mencerminkan perkembangan pesat sukan pickleball di negara ini.
Tumpuan utama acara tersebut adalah pelancaran paddle Selkirk Boomstik Raw Carbon Asia Edition yang menerima sambutan hangat dalam kalangan pemain tempatan.
Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Cik Manggis bersama suaminya yang juga duta Selkirk, Syazmin, selain pempengaruh selebriti seperti Josiah serta pengacara Weena Marcus.
Lebih menarik, penyertaan Madam Lim Choon Kiat, 71, yang berjaya meraih tempat naib johan ketiga dalam kejohanan sosial menjadi bukti bahawa pickleball sesuai untuk semua peringkat usia.
Sementara itu, Pengasas Bersama DINKLAB, Kelvin Soo, mengumumkan pembukaan cawangan ketiga serta kedai flagship pertama berkonsep tandatangan di Petaling Jaya yang bakal menjadi hab pickleball paling imersif di Malaysia.
“Kami mahu menyediakan satu ruang lengkap yang membolehkan pelanggan bukan sahaja membeli peralatan, malah merasai sendiri pengalaman sebenar dunia pickleball melalui aktivasi jenama dan penganjuran acara,” katanya.
Kedai flagship berkeluasan lebih 4,000 kaki persegi itu bakal menampilkan lebih 20 jenama antarabangsa termasuk Selkirk, JOOLA, Wilson, ASICS dan Franklin.
Ia sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi baharu sukan pickleball di rantau ini.










