KUALA LUMPUR : Penyanyi versatil tanah air, Mimi Fly mengakui teruja apabila diberi kepercayaan untuk membuat persembahan istimewa selama 10 minit pada acara penutupan Sukan SEA 2025 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pada 20 Disember ini.
Mengakui peluang itu sebagai satu amanah besar, Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norisham berkata, persiapan rapi kini sedang giat dijalankan termasuk sesi latihan intensif bersama 60 orang penari di bawah bimbingan koreografer terkenal,Pat Ibrahim.
“Memang sangat teruja. Persiapan dah dijalankan, latihan pun dah bermula dengan 60 penari di di bawah tunjuk ajar Pat Ibrahim,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, semalam.
Selain itu, jelas Mimi, peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa seperti di Sukan SEA merupakan antara impian yang sering dibayangkan sejak awal penglibatannya dalam industri hiburan.
“Mahu kata teruja itu, rasanya lebih daripada itu sebab inilah antara sesuatu yang saya selalu angan-angankan. Apabila ia menjadi kenyataan, rasa macam tak percaya dapat sekarang.
“Syukur sebab pasukan yang sangat bagus ada bersama saya untuk memastikan amanah ini dapat dijalankan sebaik mungkin,” ujarnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Serumpun itu turut memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar segala persiapan berjalan lancar, bukan sahaja buat dirinya, malah untuk keseluruhan pasukan persembahan negara.
“Semoga semua dapat doakan persembahan saya menjadi lancar, bukan sahaja saya tetapi seluruh wakil Malaysia untuk persembahan sukan SEA.
“Termasuk juga Amir Jahari, Marsha Milan dan semua tenaga kerja yang lain, semuanya telah memberikan 100 peratus komitmen,” katanya lagi.










