YWM santuni lebih 500 komuniti di Behrang

YWM santuni lebih 500 komuniti di Behrang

ZULKIFLI Hasan (tiga dari kanan) pada Program MADANI Membantu: Ziarah Kasih Rahmah (ZIKIR) 2026 di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menyantuni komuniti Behrang melalui Program MADANI Membantu: Zia­rah Kasih Rahmah (ZIKIR) 2026 di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim, Perak baru-baru ini sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Madani dalam membantu dan menyantuni masyarakat secara inklusif berteraskan nilai ihsan.

Majlis telah disempurnakan olehMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM, Senator Dr. Zulkifli Hasan. 

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara YWM, Jawatankuasa Masjid Al-Hidayah Behrang 2020, agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri, rakan strategik dan sukarelawan dalam memperkasa kesejahteraan komuniti setempat.

YWM berkata, pelaksanaan program ini memberi fokus kepada pendekatan turun padang bagi memahami keperluan masyarakat serta menyalurkan bantuan secara terus kepada golongan sasar. 

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penyampaian kotak makanan kepada 150 ketua isi rumah dan menyantuni lebih 500 masyarakat sekitar melalui pemberian petrol percuma dan program sarapan percuma kepada komuniti setempat sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dan meningkatkan kesejahteraaan sosial.

“Selain itu, agensi terlibat turut menawarkan perkhidmatan seperti kaunter wakaf, khidmat nasihat serta pemeriksaan kesihatan percuma bagi memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus di satu lokasi,” katanya dalam kenyataan.

Yayasan berkata, program ini turut menzahirkan peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti melalui pelaksanaan inisiatif di Masjid Al-Hidayah Behrang 2020 termasuk pemasangan sistem solar, penyediaan kemudahan komuniti dan penambahbaikan fasiliti masjid.

Menurutnya, melalui pelaksanaan inisiatif Wakaf Masjid Hijau oleh YWM iaitu pemasangan sistem solar dengan nilai sumbangan wakaf sebanyak RM60,000 telah berjaya mengurangkan kos utiliti masjid secara signifikan. 

“Penjimatan tersebut dimanfaatkan semula bagi tujuan pengimarahan masjid, pelaksanaan program keilmuan serta bantuan kebajikan kepada ahli kariah yang memerlukan,” uajrnya.

Sebagai usaha memperkukuh pembangunan pendidikan generasi muda, YWM turut mengumumkan pemberian pakej langganan Waqf Go Learning kepada anak-anak Behrang yang terpilih serta menggalakkan penyertaan dalam program biasiswa myWaqfPTPTN bagi menyokong akses pendidikan yang lebih inklusif dan mampan.

“Penganjuran Program MADANI Membantu: Ziarah Kasih Rahmah (ZIKIR) 2026 ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan semangat kebersamaan, peningkatan kesejahtera­an masyarakat serta manfaat program kebajikan berteraskan wakaf sejajar dengan nilai Malaysia Madani,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN