PETALING JAYA: Cadangan melaksanakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memilih Datuk Bandar turut berisiko melahirkan bentuk rasuah baharu sekiranya diperkenalkan tanpa kawalan pembiayaan politik dan tadbir urus yang ketat.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kegagalan mengawal integriti pilihan raya boleh menukar masalah sedia ada kepada isu yang lebih komplek walaupun pemilihan pemimpin tempatan melalui peti undi boleh meningkatkan semak imbang rakyat.
“Tanpa sistem pembiayaan politik yang telus, audit terbuka, ketelusan kontrak serta penguatkuasaan konflik kepentingan yang tegas, rasuah berasaskan pelantikan berpotensi berubah menjadi rasuah berasaskan kempen dan penajaan.
“Pilihan Raya PBT bukan ‘ubat tunggal’. Jika diperkenalkan tanpa kerangka kawalan yang kukuh, ia boleh menjadi medan politik kos tinggi yang akhirnya membuka ruang rasuah baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jais berkata, pilihan raya tempatan yang menelan kos tinggi mendorong calon mencari penaja bagi membiayai kempen, sekali gus mewujudkan tekanan untuk ‘membayar balik’ sokongan tersebut selepas memenangi jawatan.
“Bayaran balik ini lazimnya berlaku melalui pemberian lesen, kelulusan projek, penukaran zon, kontrak pembersihan, iklan bandar serta penguatkuasaan terpilih. Ini adalah corak yang berulang dalam sistem pilihan raya tempatan yang tidak dikawal dengan baik,” katanya.
Tambah Jais, situasi sedemikian bukan sekadar risiko teori, sebaliknya telah menjadi perbahasan serius di beberapa negara termasuk Indonesia, apabila pilihan raya tempatan yang mahal dikaitkan dengan peningkatan amalan patronaj dan rasuah di peringkat wilayah serta daerah.
“Ini perlu dilihat sebagai amaran. Demokrasi tempatan tanpa kawalan kos, ketelusan dan integriti boleh rosak dari dalam, walaupun niat asalnya untuk memperkukuh akauntabiliti,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, sebarang usaha menghidupkan semula Pilihan Raya PBT mesti disertai reformasi menyeluruh termasuk peraturan pembiayaan politik yang ketat, audit awam bebas dan penguatkuasaan konflik kepentingan yang tegas.
“Ini bagi mengelakkan ia bertukar menjadi kitaran baharu rasuah berselindung di sebalik proses demokrasi,” katanya. – UTUSAN










