Penyanyi popular, Baby Shima, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul ‘Bey Kelik Laa Bey’. Menariknya, lagu ini merupakan kali pertama Baby Shima merakamkan lagu sepenuhnya dalam dialek Kelantan.
Single ‘Bey Kelik Laa Bey’ merupakan hasil ciptaan komposer ternama, Eddie Hamid manakala liriknya dihasilkan bersama oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha. Idea untuk menghasilkan lagu berdialek Kelantan ini tercetus daripada permintaan peminat Baby Shima yang sering meninggalkan komen di media sosialnya di samping dipermudahkan oleh Eddie.
Untuk mendapatkan sebutan dialek Kelantan yang tepat, Baby Shima mengakui mengambil masa kira-kira seminggu lebih untuk berlatih.
“Kadang-kadang bila menyanyi, terkeluar juga loghat Semenanjung, jadi rasa tak sedaplah. Semasa sesi rakaman pun, ada masa saya tersasul, terutama bila lapar. Tapi bila makan budu, terus elok balik dialek Kelantan saya itu,” katanya.
Bercerita mengenai kerjasama dengan komposer Eddie Hamid, Baby Shima menyifatkannya sebagai pengalaman yang berbeza daripada kebiasaan. Beliau memuji Eddie Hamid sebagai seorang yang sangat relaks, tidak garang, dan baik hati.
“Dalam studio, dialah cikgu dan saya pula murid yang suka buat lawak. Dia ajar saya daripada sebutan sehinggalah kepada panduan vokal. Walaupun sering tersalah sebutan dan ketawa sebelum merakam semula, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar,” katanya.
Lagu ‘Bey Kelik Laa Bey’ mengisahkan perasaan pilu seorang wanita yang merindui kekasihnya setelah dikecewakan. Ia menceritakan tentang kelukaan hati wanita akibat harapan palsu yang diberikan oleh kekasih sebelum menghilangkan diri, justeru merayu agar pasangannya itu kembali semula kepadanya.
Single ‘Bey Kelik Laa Bey’ terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music boleh mula distrim peminat muzik di semua platform penstriman muzik pada 31 Disember 2025. Sementara itu, siaran perdana video muzik rasmi single tersebut akan berlangsung di saluran YouTube Kijang Music pada hari yang sama jam 8 malam.











