Aliff Syukri akui ‘ketagih’ beli emas - Utusan Malaysia

Aliff Syukri akui ‘ketagih’ beli emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Minat mendalam terhadap emas membuatkan selebriti dan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, mengakui dirinya ‘ketagih’ membeli barangan kemas sejak di usia remaja lagi.

Aliff Syukri, 38, berkata, minat tersebut semakin mendalam apabila perniagaannya berkembang maju sehingga pernah membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk pembelian emas dalam satu masa.

“Saya memang penggemar tegar emas dan pernah beli sehingga RM100,000 pada satu waktu.

“Saya gemar emas jenis gajah kerana tidak mudah bengkok, rosak dan paling penting, senang untuk dijual semula,” katanya.

Menurutnya, emas jenis kerawang pula kurang diminati kerana kadar upah yang berbeza-beza mengikut rekaan, sekali gus menjejaskan nilai jualan semula.

Dalam pada itu, Aliff Syukri secara terbuka mengakui berasa malu apabila isterinya, Datin Seri Nur Shahida, jarang mengenakan barangan kemas walaupun dia berkemampuan untuk menyediakannya.

Katanya, persepsi masyarakat terutama di kampung sering mengaitkan penampilan isteri dengan kemampuan suami.

“Isteri saya ini pemalas pakai emas. Kadang-kadang sebagai suami, saya rasa malu dan aib sebab nanti orang kampung akan mengata.

“Pada saya, suami yang hebat adalah suami yang tidak membiarkan isterinya nampak ‘kosong’. Jangan bagi malu, beri isteri pakai barang kemas,” ujarnya.

Tambahnya, penampilan isteri yang dihiasi barangan kemas mencerminkan kejayaan dan keprihatinan seorang suami.

“Hebatnya suami apabila isteri disaluti barang kemas. Sekarang ini ada yang sibuk menunjuk beg tangan berjenama di media sosial, tetapi barang kemas pula beli yang celup,” katanya.

Mengulas lanjut, Aliff Syukri menegaskan ramai individu hari ini tersilap langkah apabila lebih mengutamakan barangan mewah berbanding aset sebenar seperti emas.

Menurutnya, emas mempunyai nilai yang lebih stabil serta mudah dicairkan berbanding barangan berjenama.

“Beg tangan atau barangan mewah, beli hari ini, esok nilainya boleh jatuh sehingga 40 peratus. Tetapi emas, beli hari ini, tahun depan boleh naik.

“Sebab itu saya selalu nasihatkan, beli emas kuning dulu kerana emas adalah aset dan tidak merugikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN