JAKARTA: Vokalis kumpulan NOAH, Ariel, diumumkan sebagai pelakon watak Dilan versi dewasa untuk dua filem terbaharu terbitan Falcon Pictures berjudul Dilan ITB 1997 dan Dilan Amsterdam.
Pengumuman itu dibuat penulis dan pencipta karakter Dilan, Pidi Baiq, dalam sidang akhbar di pejabat Falcon Pictures, Jakarta Selatan.
Pidi menjelaskan pemilihan Ariel dilakukan selepas menilai keperluan karakter Dilan yang lebih matang serta memiliki kedalaman emosi.
“Saya sejuta peratus setuju Dilan dibawakan oleh Ariel NOAH. Saya lihat Ariel ada ‘bau-bau’ Dilan,” katanya.
Sementara itu, Ariel mengakui pada awalnya menolak beberapa kali sebelum bersetuju dengan tawaran itu kerana watak Dilan sudah mempunyai identiti kuat dalam kalangan peminat.
“Ini bukan keputusan yang boleh dibuat cepat. Karakter ini sudah ada dan kukuh, jadi perlu difikirkan berkali-kali,” katanya.
Kongsi Ariel lagi, dia juga menyifatkan watak tersebut sebagai cabaran baharu dalam dunia lakonan serta peluang untuk terus aktif berkarya.
Falcon Pictures memaklumkan proses penggambaran kedua-dua filem akan bermula Disember 2025 dan disasarkan tayangan serentak pada 2026.
Dilan ITB 1997 akan memaparkan perjalanan Dilan di alam universiti di Bandung, manakala Dilan Amsterdam bakal mengetengahkan kisah hidupnya di luar negara.
Keputusan memilih Ariel dianggap langkah strategik bagi memperluas pengaruh Dilan Universe kepada penonton yang kini lebih matang tanpa meninggalkan elemen puitis dan romantis karya asal Pidi Baiq.










