Sudah cuba jadi terbaik, mungkin dia belum bersedia jadi suami - Amylea Azizan - Utusan Malaysia

Sudah cuba jadi terbaik, mungkin dia belum bersedia jadi suami – Amylea Azizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, 39, akhirnya membuka mulut mengenai kemelut rumah tangga yang membawa kepada perceraian dengan bekas suaminya, Mohammad Aqbar Mohamad, selepas melalui tempoh sukar sejak awal perkahwinan mereka.

Menurut Amylea, dia sebenarnya telah lama melalui fasa getir itu namun memilih untuk berdiam diri demi menjaga perasaan banyak pihak, termasuk keluarga mentua.

“Beberapa tahun lalu saya memang melalui situasi yang agak sukar.

“Apa yang terjadi bukan perkara baharu, tetapi saya tak mahu bersuara ketika sedang sedih atau marah kerana bimbang akan terlepas cakap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis pelancaran Aluna Signature di Bangsar, Sabtu lalu.

Jelas Amylea, hubungan mereka mula goyah seawal lima bulan selepas berkahwin, namun dia tetap berusaha mempertahankannya.

“Saya cuba melalui pelbagai fasa untuk selamatkan rumah tangga, tetapi tidak berjaya.

“Saya mengalami tekanan kerana terpaksa menyembunyikan tangisan. Selepas benar-benar ‘move on’, barulah saya umumkan perceraian,” jelasnya.

Amylea turut memaklumkan bahawa dua talak dilafazkan pada Januari dan dua bulan berikutnya.

Meskipun berdepan kemelut rumah tangga, Amylea menegaskan hubungannya dengan keluarga mentua, termasuk anak-anak tiri, berada dalam keadaan baik.

“Mak mentua dan keluarga ipar sangat baik dengan saya. Mereka tahu apa yang berlaku dan bersimpati.

“Sebab itu saya tak mahu bercakap lebih kerana tidak mahu memalukan sesiapa,” ujarnya.

Amylea berkata, sepanjang bergelar isteri, dia sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan baik dan tidak pernah meninggikan suara terhadap suami.

“Saya tak pernah ada salah dengan dia. Saya jalankan tugas sebagai isteri. Tetapi mungkin dia belum bersedia menjadi seorang suami,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut punca sebenar keretakan rumah tangga mereka.

Pada Oktober lalu, Amylea mengesahkan melalui Instagram bahawa dia sudah sah bercerai dan tempoh idahnya telah pun tamat.

Namun, tarikh rasmi perceraian tidak didedahkan kepada umum.

Untuk rekod, pasangan itu mengumumkan pernikahan pada November 2023, namun tarikh sebenar majlis tidak pernah didedahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN