KUANTAN: Dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari negeri ini menggesa Datuk Seri Hamzah Zainuddin tampil menafikan secara tegas beliau tidak terlibat dengan gerakan menyerang dan memperlekeh kepemimpinan parti tersebut.
Mereka meminta Timbalan Presiden Bersatu itu membuat pendirian secara terbuka, menyokong Presiden tanpa syarat dan menghentikan kekaburan atau berani berdepan tindakan jika terbukti melanggar Perlembagaan parti tersebut.
Dalam kenyataan bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd. Yazid Mohd. Yunus menyifatkan tindakan menyerang dari dalam ketika parti itu sedang mempersiap diri menghadapi Kerajaan Madani sebagai memalukan serta mencurigakan.
“Ketika kita sepatutnya menyusun kekuatan, mengapa ada serangan daripada dalam? Ketika ahli diminta bersatu, mengapa ada gerakan yang dilihat melemahkan Presiden parti sendiri?
“Persoalan ini semakin serius apabila nama Hamzah sering dikaitkan dengan gerakan tersebut. Jika benar tidak terlibat, maka beliau wajib tampil menafikan secara tegas dan menghentikan sebarang usaha yang mencalar kestabilan parti.
“Namun, jika benar wujud perancangan tersusun untuk melemahkan kepemimpinan Presiden, maka itu bukan lagi perbezaan pandangan. Itu adalah sabotaj dalaman,” kata dua Ahli MPT Bersatu tersebut di sini.
Menurut kenyataan bersama itu, jika siasatan mendapati wujud pelanggaran Perlembagaan parti sama ada secara langsung atau sebaliknya, maka Hamzah seharusnya menunjukkan keberanian moral untuk berdepan tindakan disiplin.
“Malah, jika benar prinsip parti telah dicabuli, beliau (Hamzah) sendiri wajar menyerahkan mandat dan bersedia dipecat demi memelihara integriti Bersatu. Tiada siapa lebih besar daripada parti. Tiada jawatan kebal daripada tindakan.
“Bersatu tidak boleh bertolak ansur dengan politik bayang-bayang, percaturan tersembunyi dan gerakan yang melemahkan parti daripada dalam. Jika ini benar berlaku, maka itulah bentuk pengkhianatan sebenar terhadap perjuangan dan ahli,” kata dua ahli MPT Bersatu tersebut.
Tegas mereka, Bersatu mesti memilih antara disiplin atau kehancuran daripada dalam. – UTUSAN









