KUALA LUMPUR: Kisah hidup pempengaruh media sosial, Harszan, mengundang sebak dalam kalangan netizen selepas dia mendedahkan pengalaman menjadi bayi terbuang serta perjuangannya memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
Menurut Harszan, sewaktu bayi, dia telah ditemui orang awam di sebuah kawasan perumahan dalam keadaan menyayat hati sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
“Orang jumpa saya dan bawa ke hospital. Masa itu tak ada siapa tuntut saya sebagai waris.
“Darah di badan pun sudah kering, jadi mungkin saya sudah ditinggalkan lebih sehari,” katanya dalam satu sesi temu bual.
Katanya, dia dijumpai di kawasan pangsapuri oleh pihak polis selepas orang awam mendengar tangisannya sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Ketiadaan waris menyebabkan Harszan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang juga menjadi tempatnya membesar sehingga usia dua tahun sebelum diambil sebagai anak angkat oleh pasangan suami isteri.
Namun, menurut Harszan, statusnya sebagai bayi tidak berdaftar menyebabkannya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri rasmi.
“Biasanya bila anak lahir, ibu bapa akan daftar di JKM. Tapi saya dibuang, jadi tiada siapa yang daftarkan saya,” ujarnya.
Tambahnya, pada awal 2000-an, kelemahan sistem pendaftaran turut menyumbang kepada isu yang dialaminya sehingga dia terlepas dalam rekod kewarganegaraan negara.
Katanya, masalah dokumentasi menjadi lebih serius apabila dia tidak dibenarkan menduduki peperiksaan UPSR kerana namanya tidak wujud dalam sistem pendidikan.
Harszan juga kemudian membuat permohonan kewarganegaraan namun terpaksa menunggu hampir sembilan tahun sebelum ia diluluskan.
“Saya tunggu dari umur 12 sampai 21 tahun. Selama 9 tahun itu, saya tak boleh naik kapal terbang, tak boleh buka akaun bank dan susah nak dapat kerja.
“Saya pernah kena halau masa minta kerja. Mereka cakap saya bukan orang Malaysia.
“Pernah juga ditawarkan gaji RM500 saja sebab saya tak ada IC. Semua gaji yang saya dapat pun dalam bentuk tunai sahaja,” jelasnya.
Walaupun pelbagai cabaran ditempuhi, Harszan bersyukur kerana kehidupannya kini jauh lebih baik selepas memperoleh dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dulu memang susah tapi sekarang Alhamdulillah semuanya okey,” katanya.










