LOS ANGELES : Penyanyi dan pelakon popular, Sabrina Carpenter, dikhabarkan bakal menerajui sebuah projek filem muzikal baharu yang diinspirasikan daripada kisah klasik Alice in Wonderland.
Memetik laporan Variety, projek terbitan Universal Pictures itu masih belum mempunyai judul rasmi.
Bagaimanapun, ia sudah menarik perhatian ramai kerana menyaksikan penglibatan Carpenter bukan sahaja sebagai pelakon, malah turut duduk di kerusi penerbit.
Turut bergandingan dengannya ialah penerbit tersohor Hollywood, Marc Platt, yang sebelum ini terkenal menerusi karya seperti La La Land (2016) dan Wicked (2024).
Sementara itu, tugas pengarahan dan penulisan naskhah diserahkan kepada Lorene Scafaria, yang sebelum ini mengarahkan filem Hustlers (2019) lakonan Jennifer Lopez, Constance Wu dan Cardi B.
Setakat ini, butiran lanjut mengenai filem muzikal tersebut masih dirahsiakan.
Tidak dapat dipastikan sama ada penyanyi lagu hit Espresso itu akan membawa watak utama sebagai Alice atau sebaliknya.
Pada 2021, Carpenter pernah dikaitkan dengan projek seumpama itu bersama Netflix, namun perkembangan lanjut mengenainya tidak pernah diumumkan.
Menariknya, pengumuman projek baharu ini dibuat hanya kira-kira seminggu selepas Carpenter meraih enam pencalonan dalam Anugerah Grammy 2026, termasuk Album Terbaik menerusi Man’s Best Friend, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik untuk karya Manchild.
Carpenter juga sebelum ini sudah mengukuhkan nama dalam bidang lakonan menerusi beberapa filem, antaranya drama-jenayah The Hate U Give (2018) yang mendapat pujian tinggi dengan rating 97% di Rotten Tomatoes dan 7.5/10 di IMDb.
Penampilan terbarunya di layar perak adalah dalam filem Tall Girl 2 (2022) dan Emergency (2022).
Kisah Alice in Wonderland sendiri telah berkali-kali diadaptasikan, termasuk versi animasi klasik Disney pada 1951 serta adaptasi aksi nyata arahan Tim Burton pada 2010 yang dibintangi Mia Wasikowska sebagai Alice dan Johnny Depp sebagai Mad Hatter.










