PETALING JAYA: Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup 180 ekor burung murai batu dianggarkan bernilai RM800,000 ke Batam, Indonesia gagal apabila dia dicekup Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Lelaki berperanan sebagai peraih itu ditahan di sebuah rumah di Taman Matahari, Kluang kira-kira pukul 2.20 pagi oleh sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hasil pemeriksaan menemukan kesemua disyaki burung liar yang tersenarai di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta 716].
Menurutnya, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen pemilikan hidupan liar.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai peraih atau ‘tauke’ yang akan mengumpul spesies burung berkenaan daripada pemburu haram selepas mendapat tempatan daripada individu di Batam.
“Suspek akan menyimpan murai batu berkenaan sehingga cukup bilangan tempahan sebelum menyerahkan kepada ‘runner’ untuk diseludup melalui jalan laut ke Batam (Indonesia),” katanya di sini hari ini.
Katanya, suspek yang dipercayai aktif sejak dua bulan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut.
“Kesemua sitaan barang kes dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Kluang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” ujarnya. – UTUSAN










