Udang kara jejas tangkapan kaki pancing ikan

Udang kara jejas tangkapan kaki pancing ikan

MUHAMAD Tarmize Mohd. Nor menunjukkan udang kara yang diperolehnya ketika membubu di parit Kampung Si Rusa Dalam, Port Dickson.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kehadiran udang kara yang dikesan di sebuah parit kecil Kampung Si Rusa Dalam di sini, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian ekosistem ikan air tawar tempatan.

Seorang pemancing, Muhamad Tarmize Mohd Nor, 38, berkata, dia mula mendapati perubahan ketara pada hasil tangkapan selepas mula memancing di parit berkenaan sejak pertengahan tahun lalu.

“Parit itu sebelum ini sering menjadi lokasi orang kampung bagi memancing ikan haruan dan ikan puyu.

“Namun sekarang ini, banyak dapat ikan tilapia hitam. Hari ini pula,  buat pertama kali saya dapat spesies udang kara selepas membubu di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Udang kara air tawar atau cherax quadricarinatus (Red Claw) berasal dari kawasan utara Australia serta selatan Papua New Guinea, sebelum diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 1990-an sebagai komoditi akuakultur dan hiasan akuarium.

Muhamad Tarmize berkata, kehadiran spesies asing seperti udang kara dan ikan tilapia hitam juga berpotensi menjejaskan ekosistem ikan tempatan kerana sifatnya yang agresif dan pemangsa termasuk memakan telur serta anak ikan tempatan.

“Kalau parit kecil sudah dikuasai ikan dan udang pendatang, tidak mustahil sungai-sungai pula akan mengalami nasib sama,” katanya.

Dia berharap pencegahan dilakukan lebih awal termasuk mempergiatkan program kesedaran mengenai bahaya spesies asing, selain operasi memburu dan menghapuskan ikan pendatang di sungai tempatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN