KUALA LUMPUR: Dua kumpulan legenda Indonesia, Radja dan Wali, bakal kembali menghangatkan pentas hiburan Malaysia menerusi konsert khas Pentas RadjaWali Live in Malaysia yang dijadual berlangsung pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Konsert istimewa ini menyaksikan kedua-dua kumpulan berkongsi pentas buat pertama kali di Malaysia.
Ia sekali gus memberi peluang peminat tempatan menyaksikan gabungan vokal, energi dan nostalgia yang telah mengangkat nama mereka di persada muzik serantau.
Radja bakal mendendangkan rangkaian lagu popular seperti Jujur, Bulan dan Cinderella, manakala Wali pula tampil dengan hits Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang serta Tomat (Tobat Maksiat).
Vokalis Radja, Ian Kasela, menzahirkan rasa teruja untuk kembali ke Malaysia selepas sekian lama tidak membuat persembahan di sini.
“Malaysia sentiasa dekat di hati kami. Kami tidak pernah melupakan peminat di sini dan undangan untuk kembali membuat persembahan benar-benar mengujakan,” katanya.
Kumpulan Wali yang dianggotai Faank, Apoy, Ovie dan Tommy pula menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua.
“Syukur, kami merindui sambutan peminat dan suasana di Malaysia. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan sesuatu yang lebih segar,” kata mereka.
Bagi memastikan kelancaran penganjuran, Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events serta Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) merai dan memperkenalkan barisan penaja kini digelar Rakan Strategik dalam satu majlis khas di Redbox The Gardens hari ini.
Pengarah Projek merangkap Pengarah Konsert, Muhamad Firdouz Abd. Razak (Fidote), berkata sokongan padu daripada Rakan Strategik amat penting dalam menterjemahkan konsert ini daripada perancangan ke realiti.
“Dalam keadaan industri sekarang, untuk mendapatkan penaja bukan perkara mudah. Tapi mereka sangat suportif dan yakin dengan projek ini,” katanya.
Antara Rakan Strategik yang terlibat ialah Redbox dan Three Hand Production (penaja utama), GGR Motor, Dua Darjat Coffee (minuman rasmi), Roerdum (jam tangan rasmi), Era, Sinar dan THR Gegar (radio rasmi), Gempak (media rasmi) serta Royale Chulan (hotel rasmi).
Menurut Fidote, sambutan peminat terhadap konsert ini sangat menggalakkan.
Tiket berharga RM177 habis terjual dalam tempoh seminggu, manakala kategori premium banyak dibeli syarikat korporat.
“Secara keseluruhan, jualan tiket sudah mencapai 60 peratus. Ini satu petanda baik dan kami amat berterima kasih atas sokongan semua pihak,” katanya.
Penganjur juga melancarkan peraduan cabutan bertuah khas untuk penonton pada malam konsert.
Harga Tiket Pentas RadjaWali Live in Malaysia. Tiket dijual pada harga VIP – RM977, RW 2 – RM477, RW 3 – RM277, RW 4 – RM177, RW 5 & 6 –RM477 dan RW 7 – RM377
Tiket boleh dibeli melalui platform Fantopia.io.










