PETALING JAYA: Pemilik kereta yang terbabit dalam kejadian baling kon lalu lintas dan mengeluarkan perkataan mengaibkan di Plaza Tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) sehingga tular di media sosial sedang diburu polis.
Tindakan itu dilakukan selepas satu laporan polis diterima berkaitan video tular di media sosial pada pukul 1.37 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan itu dibuat selepas mengesan satu rakaman video di Facebook bertajuk ‘Pemandu Axia naik hantu baling kon di Plaza Tol Petaling Jaya LDP’.
“Video terbabit memaparkan seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan Perodua Axia warna merah dipercayai memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba dan bertindak membaling kon ke arah sebuah kenderaan lain ketika keadaan trafik sesak di plaza tol berkenaan.
“Semakan awal mendapati video itu mendapat perhatian orang ramai di media sosial. Setakat ini, pemilik kenderaan yang terbabit masih belum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sehubungan itu, pihak polis meminta pemilik kenderaan yang terbabit supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Polis juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 kanun keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu,” jelasnya.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Mohammad Faiz Naufal Zakaria di talian 019-485 8907 atau balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN










