KRU sedih ayah tidak dapat hadir saksikan konsert GenKRU The Finale - Utusan Malaysia

KRU sedih ayah tidak dapat hadir saksikan konsert GenKRU The Finale

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Datuk Norman Abdul Halim gagal menahan sebak apabila berkongsi keadaan kesihatan bapanya, Abdul Halim Kamal yang kini sedang berdepan masalah kesihatan serius.

Norman, 53, berkata, bapanya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan sejak tiga minggu lalu akibat masalah hati dan pernah berada dalam keadaan kritikal sebelum menunjukkan perkembangan yang semakin positif.

Katanya, situasi itu memberi kesan besar terhadap emosinya, apatah lagi ketika menjayakan Konsert GenKRU The Finale.

“Ketika Edry menyebut tentang ayah kami semasa konsert, saya terus sebak. Pada awalnya, saya sendiri berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan konsert atau tidak.

“Ayah saya berada dalam keadaan kritikal sebelum ini. Dia dimasukkan ke wad tiga minggu lalu dan sepanjang tempoh persiapan, fikiran saya sangat terganggu.

“Saya berulang-alik ke hospital untuk melawat dan melihat keadaan ayah,” katanya.

Norman berkongsi perkara itu ketika ditemui sejurus selesai Konsert GenKRU The Finale yang berlangsung di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil, semalam.

Mengulas lanjut,Norman memaklumkan keadaan bapanya kini semakin stabil namun masih belum mengizinkan untuk hadir menyaksikan konsert berkenaan seperti yang diharapkan.

“Alhamdulillah, keadaan ayah semakin baik, tetapi dia tidak dapat hadir kerana faktor kesihatan.

“Dia sebenarnya berharap dapat datang menonton konsert ini, namun saya minta dia jangan risau. Mana tahu ada rezeki untuk hadir ke konsert kami yang lain pada masa depan,” ujarnya.

Terdahulu, Norman bersama dua adiknya, Datuk Yusry dan Edry, turut dilihat tidak mampu menahan emosi dan menitiskan air mata ketika bercerita mengenai keadaan bapanya sepanjang konsert berlangsung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN