KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa tampil memberi penjelasan berhubung isu rakaman semula lagu Sinaran yang hangat diperkatakan.
Menurut Rossa, dia memahami usaha Datuk Nora Ariffin dalam memperjuangkan hak waris arwah suaminya, komposer Johan Nawawi yang menghasilkan lagu tersebut.
Rossa, 47, berkata, dia terkejut apabila mengetahui wujud polemik berhubung lagu ciptaan Johan Nawawi dan Azlan Abu Hassan itu, namun menjelaskan segala bayaran berkaitan royalti telah diselesaikan tanpa sebarang masalah.
“Saya sendiri terkejut apabila mengetahui isu ini. Kami memang sudah membuat bayaran dan tiada masalah.
“Namun saya melihat perkara ini ada hikmahnya kerana saya sebenarnya mengenali Nora sejak 25 tahun lalu.
“Saya juga baru mengetahui bahawa komposer lagu tersebut adalah kenalan lama saya, iaitu arwah Johan,” katanya.
Rossa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran mini album Asmara Dansa di The Five, di sini, kelmarin.
Menurut Rossa, perkara tersebut telah dibincangkan secara baik antaranya dan Nora.
Malah, katanya, hubungan sedia ada memudahkan komunikasi antara kedua-dua pihak.
“Kami sudah berbual dan berbincang. Nora sedang memperjuangkan hak waris dan saya sangat memahami kedudukannya. Kebetulan pula saya menyanyikan semula lagu itu dan mengenali mereka.
“Alhamdulillah, komunikasi kami berjalan dengan lancar dan saya turut membantu menguruskan perkara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Rossa berkata isu melibatkan bayaran royalti bukan perkara baharu dan turut berlaku dalam industri muzik di Indonesia.
“Di Indonesia juga berlaku isu yang sama antara penyanyi dan pencipta lagu. Kebanyakannya membabitkan royalti yang tidak dibayar, jadi saya sangat memahami situasi ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Nora Ariffin dilaporkan menyuarakan perkara tersebut menerusi Instagram Story miliknya sebelum dihubungi oleh Rossa bagi mendapatkan penjelasan.
Terdahulu, Nora pernah membangkitkan isu berkaitan royalti dan mendakwa arwah Johan Nawawi menerima bayaran yang tidak setimpal.
Untuk rekod, lagu Sinaran dimuatkan dalam album Emosi dan menjadi antara karya ikonik yang pernah dipopularkan oleh Datuk Sheila Majid.










