KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara podcast Sembang Seram, Safwan Nazri, memohon agar warganet menghentikan komen-komen berunsur penghinaan terhadap dirinya, khususnya berkaitan gaya pengendalian podcast yang dikatakannya sering disalah tafsir.
Menurut Safwan, dia memahami realiti dunia media sosial masa kini yang sentiasa dipenuhi trend dan persepsi negatif dan ia termasuk kritikan terhadap gaya penyampaiannya yang dianggap ‘overreact’ serta mengganggu oleh segelintir netizen.
“Saya faham, tak semua orang boleh terima cara saya. Ada yang kata gaya saya menjengkelkan, ada yang tak selesa dengan cara saya bercakap. Semua itu saya boleh terima,” katanya.
Bagaimanapun, Safwan meluahkan rasa terkilan apabila ada komen yang disifatkan melampau sehingga menyentuh soal keluarga, termasuk hinaan terhadap ibu bapanya.
“Ada yang sampai menghina mak ayah saya. Komen seperti ‘mak dia beri makan apa dulu’ dan sebagainya.
“Pada saya, itu sudah keterlaluan. Kalau nak menegur, fikir dahulu kata-kata yang digunakan,” ujarnya.
Menurut Safwan, dia tidak pernah menganggap dirinya sempurna dan sedar masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, namun berharap agar teguran dibuat secara berhemah tanpa melibatkan penghinaan peribadi.
“Saya tahu saya banyak kekurangan dan saya minta maaf kalau ada salah silap sepanjang saya mengendalikan podcast ini. Saya tak mampu memuaskan hati semua orang,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Safwan menegaskan bahawa gaya ekspresif yang sering dipertikaikan itu adalah sebahagian daripada keperibadiannya.
“Itu bukan dibuat-buat, memang perangai saya. Tapi saya akan cuba perbaiki mana yang patut. Teguran itu saya terima, tapi jangan sampai mencela.
“Saya tahu segala kekurangan semua daripada diri saya sendiri,”katanya.










