ROME: Penyanyi terkenal, Harry Styles dan aktres Zoe Kravitz mencuri perhatian peminat apabila dilihat sedang menikmati percutian bersama di Roma, Itali, Rabu lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai hubungan mereka.
Apa yang lebih menjadi tumpuan, Kravitz dilihat mengenakan cincin di jari manis tangan kiri, lantas menguatkan khabar angin bahawa pasangan itu sudah melangkah ke fasa lebih serius, termasuk kemungkinan bertunang.
Menurut laporan Page Six, kedua-duanya kelihatan sangat mesra ketika berjalan berpegangan tangan di jalanan sekitar kota bersejarah itu.
Malah, terdapat momen manis apabila Styles yang mengenakan kot kelabu dan seluar panjang dilihat menyentuh hidung Kravitz dengan penuh kasih sayang.
Kravitz, 36, pula tampil anggun dalam kot kelabu yang dipadankan dengan kardigan biru, sambil menyandarkan kepalanya ke bahu penyanyi itu.
Kemunculan cincin emas yang jelas kelihatan di jari manis kiri pelakon itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan pemerhati industri hiburan, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa hubungan mereka semakin serius.
Khabar mengenai hubungan mereka mula bertiup sejak Ogos lalu selepas video yang memaparkan kemesraan mereka di Roma menjadi tular.
Pada masa sama, Kravitz turut dikaitkan dengan pelakon filem Blink Twice, Austin Butler.
Menurut sumber yang dipetik daripada The Sun, Styles dan Kravitz mempunyai ikatan emosi yang kuat meskipun hubungan mereka masih baharu.
“Mereka berasa sangat selesa antara satu sama lain kerana sudah lama saling mengenali sebagai rakan,” kata sumber itu.
Bagaimanapun, kedua-dua selebriti itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung status hubungan mereka.
Sebelum ini, mereka juga dirakam kamera bermesra ketika berada di Roma pada 13 September lalu.
Menerusi foto yang tular, Styles dilihat menggenggam tangan Kravitz sambil berjalan di sekitar ibu kota Itali tersebut, malah turut merangkul bahagian belakang badan masing-masing.










