Calon PRN kena tahu tanggungjawab, tanggani isu PATI di Sabah - Azharina - Utusan Malaysia

Calon PRN kena tahu tanggungjawab, tanggani isu PATI di Sabah – Azharina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Azharina Azhar berharap kepimpinan yang dipilih rakyat mampu membawa pembangunan lebih baik serta menyelesaikan isu sosial yang membelenggu negeri itu.

Ia terutama apabila menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.

Azharina, 40, berkata, proses demokrasi kali ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sabah untuk memilih kepimpinan berkaliber yang mampu membawa perubahan menyeluruh kepada negeri berkenaan.

“Sebagai anak jati Sabah, saya sentiasa mengharapkan perubahan. Harapan saya agar calon yang dipilih benar-benar tahu menjalankan tanggungjawab dan membawa pembangunan nyata.

“Pembangunan bukan sekadar pusat beli-belah atau parkir baharu, tetapi juga peningkatan taraf sosial rakyat,” katanya.

Selain itu, penyanyi lagu Elegi Sepi itu turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta kegiatan meminta sedekah di jalanan yang menurutnya menjejaskan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan utama.

“Masalah PATI memang ketara di Sabah. Ada yang meminta sedekah di tepi jalan, mengetuk tingkap kereta. Situasi ini memberi gambaran kurang baik, bukan sahaja kepada rakyat tempatan, malah pelancong,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Azharina berkata isu bekalan air dan elektrik yang berlarutan juga terus membebankan rakyat dan perlu ditangani secara tuntas oleh pihak berwajib.

Azharina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya berjudul Biar Gambar Bicara, duet bersama Nana Karia, di ibu negara, kelmarin.

Dalam pada itu, Azharina menyentuh paradoks ekonomi yang membelenggu Sabah, apabila negeri yang kaya dengan hasil sumber alam itu masih berada dalam kelompok negeri termiskin di negara ini.

“Kami rakyat Sabah sangat bangga dengan negeri dan negara. Sebab itu saya berharap pemimpin yang memerintah atau bakal memerintah memberi perhatian kepada isu sosial ini.

“Kita ada banyak sumber, tetapi mengapa rakyat masih termasuk antara tiga negeri termiskin? Ini sepatutnya menjadi titik untuk kita berhenti melihat masalah hanya di permukaan,” katanya.

Menurut Azharina, tegurannya bukan berniat politik, sebaliknya lahir daripada rasa cinta kepada negeri sendiri.

“Saya hanya mahu melihat perubahan yang baik untuk Sabah. Tiada niat lain. Saya cuma mahu yang terbaik untuk negeri saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN