MIAMI: Penyanyi terkenal antarabangsa, Billie Eilish, berdepan detik mencemaskan ketika mengadakan konsert di Miami, Amerika Syarikat baru-baru ini, apabila salah seorang peminat bertindak kasar terhadapnya.
Penyanyi berusia 23 tahun itu kini sedang menjayakan siri jelajah dunia bertajuk Hit Me Hard and Soft: The Tour dengan Miami menjadi salah satu lokasi persembahannya.
Billie dijadualkan membuat persembahan pada 9 serta 11 dan 12 Oktober.
Namun begitu, konsert pada hari pertama tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, kelihatan seorang peminat menarik tubuh Billie ketika penyanyi itu turun dari pentas untuk berinteraksi dengan penonton.
Pada mulanya, penyanyi lagu Birds of a Feather itu dilihat mesra menyambut tangan para peminat yang menghulurkan salam sambil tersenyum.
Namun keadaan bertukar kecoh apabila seorang peminat tiba-tiba menariknya sehingga hampir terjatuh.
Tindakan pantas pasukan keselamatan berjaya mengawal keadaan dan membantu Billie bangun semula.
Wajahnya yang masam selepas kejadian itu jelas menggambarkan rasa kesal dan kecewa terhadap insiden berkenaan.
Kejadian tersebut menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen yang menyifatkan tindakan peminat terbabit sebagai biadab dan tidak menghormati artis kesayangan mereka.
Setakat ini, Billie belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.
Ini bukan kali pertama penyanyi yang pernah meraih sembilan trofi Grammy Awards itu berdepan pengalaman tidak menyenangkan bersama peminat.
Pada Disember 2024, ketika membuat persembahan di Arizona, Amerika Syarikat, dia pernah dilempar kalung oleh seorang penonton semasa menyanyikan lagu What Was I Made For?.
Insiden itu menyebabkan Billie terkejut dan terhenti seketika sebelum meneruskan nyanyiannya secara profesional, sementara peminat lain menegur tindakan tidak bertanggungjawab si pelaku.