KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat besar, Amir Masdi, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air apabila muncul dengan single terbaharu berjudul Take Me Home, sekali gus menampilkan sisi berbeza dirinya sebagai penyanyi versatil.
Lagu ciptaan Amir bersama komposer terkenal, Edry Abdul Halim, turut dimuatkan dalam album keduanya, AM:PM, yang sarat dengan pelbagai eksperimen muzik segar.
Menurut Amir, ilham penulisan Take Me Home tercetus sewaktu berada di Manchester, England.
“Saya banyak terinspirasi daripada lagu-lagu western rock, pop rock dan ballad rock cinta era 90-an dan awal 2000-an.
“Ketika jauh dari tanah air, perasaan rindu untuk pulang itu mendorong saya menulis karya ini,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Amir, maksud ‘home’ yang digarap bukan sekadar rumah fizikal, sebaliknya merangkumi makna lebih luas.
“Asalnya saya tulis ‘home’ ini sebagai sebuah perasaan, seseorang dan hati manusia.
“Tempat yang buat kita rasa selamat, itulah rumah. Jadi, hati orang yang kita sayang juga boleh jadi rumah buat kita,” ujarnya.
Tambah Amir, mesej lagu ini bukan semata-mata kisah peribadi, sebaliknya gambaran umum yang dekat dengan pengalaman ramai.
“Saya mahu pendengar dapat mengaitkan lagu ini dengan kehidupan mereka, bukan sekadar kisah saya seorang,” katanya.
Amir juga meletakkan harapan tinggi agar Take Me Home menjadi pemangkin untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya mahu orang melihat sisi saya menyanyikan lagu Inggeris, dan jika ada rezeki, saya ingin bawa lagu ini keluar negara dengan nama Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Amir baru-baru ini diberi penghormatan sebagai wakil rasmi Malaysia pada program National Day Spirit to Expo 2025 Osaka yang berlangsung di Jepun bulan lalu.
Program berprestij itu mengetengahkan semangat Hari Kebangsaan Malaysia ke pentas dunia dengan persembahan berwarna-warni, irama muzik, serta mesej perpaduan yang melambangkan identiti negara.
“Saya amat terharu diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia di Expo 2025 Osaka.
“Ini bukan sekadar persembahan, tetapi peluang membawa semangat Malaysia ke mata dunia. Saya mahu penonton di Osaka merasai keindahan budaya kita dan semangat perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.
Selain persembahan muzik, Expo 2025 Osaka turut memaparkan pameran seni dan budaya, demonstrasi masakan serta segmen interaktif yang memperkenalkan Malaysia kepada pengunjung antarabangsa.