Pernikahan sah jika lima rukun nikah dipenuhi - Ustaz Wan Halim

Pernikahan sah jika lima rukun nikah dipenuhi – Ustaz Wan Halim

uqasha
Uqasha Senrose mempersoalkan status perkahwinannya dengan aktor Kamal Adli berikutan kesilapan tarikh yang tercatat pada sijil nikah mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustaz Wan Halim Md Yusoff tampil menjelaskan bahawa sesuatu pernikahan dianggap sah sekiranya memenuhi lima rukun nikah seperti yang ditetapkan dalam hukum syarak.

Menurutnya, rukun nikah yang wajib dipenuhi ialah pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi lelaki yang adil, serta lafaz ijab dan qabul.

“Perkara asas yang menentukan sah atau tidaknya sesuatu perkahwinan ialah cukup rukun dan syaratnya. Selain itu, pasangan juga perlu mendapatkan kebenaran bernikah daripada Jabatan Agama Islam Negeri sebagai memenuhi aspek pentadbiran undang-undang,” katanya dalam satu sesi perkongsian di sebuah stesen radio baru-baru ini.

Ustaz Wan Halim turut menasihatkan pasangan pengantin agar menyemak semula dokumen pernikahan termasuk sijil perkahwinan, khususnya pada bahagian tarikh yang tercatat bagi mengelak sebarang kekeliruan di kemudian hari.

“Kalau boleh, semak dahulu sijil berkenaan dan buat ‘cross-check’. Pihak jabatan agama juga perlu membetulkan tarikh pendaftaran sekiranya terdapat kesilapan dengan merujuk kepada saksi majlis akad nikah,” ujarnya.

Ustaz Wan Halim menambah, kesilapan tarikh pernikahan tidak sepatutnya berlaku kerana kebiasaannya, butiran sijil akan dilengkapkan sejurus selepas majlis akad nikah selesai dijalankan.

“Biasanya, penolong pendaftar nikah cerai rujuk (TPNCR) akan menulis tempat dan masa perkahwinan selepas akad nikah berlangsung.

“Sekiranya ada perubahan tarikh pada awal permohonan, borang baharu hanya akan diisi selepas akad nikah,” jelasnya.

Terdahulu, isu berkenaan timbul selepas pelakon Uqasha Senrose mempersoalkan status perkahwinannya dengan aktor Kamal Adli berikutan kesilapan tarikh yang tercatat pada sijil nikah mereka.

Perkongsian Uqasha di media sosial itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, namun difahamkan hantaran tersebut telah dipadamkan beberapa jam selepas beliau pulang dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan berhubung kes permohonan perceraiannya.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh baharu prosiding perceraian pasangan itu selepas Kamal, 39, tidak hadir ke mahkamah atas alasan menjalani penggambaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN