BUKIT JALIL: Pengarah filem Hayya 3: Gaza, Jastis Arimba, menyeru sutradara prolifik Malaysia, Syamsul Yusof, agar turut menghasilkan karya bertemakan kemanusiaan yang menyuarakan perjuangan rakyat Palestin.
Menurut Jastis, ini kerana dia percaya bahawa medium filem bukan sekadar untuk hiburan semata-mata.
Sebaliknya, Jastis menjadi wadah penting dalam membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap isu sejagat, khususnya berkaitan penderitaan rakyat Palestin.
“Secara peribadi, saya sangat mengagumi Syamsul Yusof. Dia antara pengarah kegemaran saya. Saya menonton karya arahannya seperti Munafik dan Mat Kilau.
“Sebagai pengarah hebat Malaysia, saya berharap Syamsul juga mempunyai keprihatinan yang sama terhadap rakyat Palestin dan menghasilkan filem yang menyuarakan perjuangan ini,” katanya.
Jastis berkata demimian ketika ditemui pada majlis tayangan Hayya 3: Gaza di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.
Selain itu, Jastis menegaskan, isu Palestin bukan sekadar konflik sementara, sebaliknya perjuangan yang panjang dan berterusan.
“Perjuangan Palestin ini ibarat larian maraton. Kita tidak boleh berhenti dan tidak boleh berasa letih.
“Semua orang mempunyai peranan masing-masing ada yang menulis, melukis, menggubah lagu atau menghasilkan filem. Semua cara boleh digunakan untuk menyampaikan mesej kemanusiaan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Jastis berharap agar penggiat seni bukan sahaja di Indonesia, malah di Malaysia turut menyumbang dalam mengangkat tema kemanusiaan melalui karya seni mereka.
“Kerja ini bukan sekadar tanggungjawab profesional, tetapi satu legasi. Sebagai Muslim yang menentang penjajahan serta kekejaman, saya mahu menyumbang melalui kemampuan saya iaitu menerusi filem,” katanya.
Tambahnya lagi, peluang mengarahkan Hayya 3: Gaza merupakan satu penghormatan besar buat dirinya dan keluarga kerana dapat menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Dapat menghasilkan karya yang menyuarakan perjuangan rakyat Gaza dan Palestin merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga buat keluarga saya.
“Semoga lebih ramai pengarah di rantau ini akan terus bersuara melalui karya mereka,” ujarnya.
Filem terbitan Warna Pictures dan 786 Productions, dengan edaran Horizon Film Entertainment serta kerjasama Cinta Gaza Malaysia, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 30 Oktober ini.
Hayya 3: Gaza menampilkan barisan pelakon termasuk Amna Shahab, Azamy Syauqi, Cut Syifa, Oki Setiana Dewi, Adhin Abdul Halim, dan Fauzi Baadila.










