Minta makan percuma, jangan cemar imej pempengaruh - Ryzal Ibrahim - Utusan Malaysia

Minta makan percuma, jangan cemar imej pempengaruh – Ryzal Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti media sosial dan usahawan, Ryzal Ibrahim menyifatkan tindakan segelintir pempengaruh yang didakwa meminta makan percuma daripada restoran sebagai tidak beretika dan hanya mencemarkan imej.

Menurut Ryzal, 33, pempengaruh sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat, bukannya menggunakan populariti untuk meraih manfaat peribadi.

“Saya dan isteri tidak pernah meminta layanan percuma walaupun dikenali ramai. Kalau nak makan, bayarlah. Tak salah pun,” katanya.

Ryzal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan kedua Restoran K Garden di KL East Mall, di sini, kelmarin.

Tambah Ryzal, secara peribadi, dia berasa segan apabila ada pihak yang menawarkan makanan percuma, terutama jika melibatkan peniaga kecil yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan.

“Kalau restoran besar mungkin tidak kisah, tapi bagi peniaga kecil, perkara itu tidak wajar.

“Kalau benar ingin menyokong, sokonglah dengan cara betul iaitu dengan beli dan bayar. Tak perlu beritahu siapa kita,” ujarnya.

Ryzal turut berkongsi pengalamannya setiap kali pulang ke Kelantan, dia sering mengunjungi pelbagai kedai makan dan membuat ulasan secara sukarela dan jujur, tanpa memperkenalkan diri kepada pemilik premis.

“Saya pergi ke kedai makan kecil atau besar, bayar penuh dan hasilkan video untuk konten sendiri. Saya dapat tontonan, dan kedai pula dapat promosi percuma,” katanya lagi.

Suami kepada personaliti Korea Selatan, Maryam Younarae itu berkata, ada juga pemilik kedai yang bermurah hati membelanjakan makanan.

Bagaimanapun katanya, ia dilakukan atas budi bicara mereka, bukan atas permintaannya.

“Jangan gunakan nama ‘influencer’ sebagai tiket untuk berbuat sesuka hati. Kalau seseorang guna status atau pengaruh untuk kepentingan sendiri, itu tidak wajar,” tegasnya.

Ryzal yang turut mengusahakan restoran bersama isterinya berkata, dia mengamalkan layanan sama kepada semua pelanggan, termasuk rakan artis.

“Ramai rakan artis datang makan tanpa tahu restoran itu milik saya dan isteri. Bila mereka tahu pun, saya tetap layan seperti pelanggan lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN