Lima tahun menetap di Australia, Raja Ilya rindu berlakon di tanah air - Utusan Malaysia

Lima tahun menetap di Australia, Raja Ilya rindu berlakon di tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Ilya, 40, mengakui masih merindui dunia lakonan tanah air meskipun sudah lima tahun menetap di Australia.

Menurut Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, meskipun tidak aktif di televisyen mahupun layar perak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kehidupannya tetap sibuk dengan pengisian pelbagai komitmen kerja serta keluarga di sana.

“Lima tahun ini bukan tempoh kosong buat saya. Walaupun tidak muncul di televisyen, hidup saya tetap dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.

“Saya sibuk mengembangkan kerjaya di Australia, bekerja di belakang tabir, serta membesarkan dua anak yang ketika ini masih kecil dan memerlukan perhatian sepenuhnya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosialnya semalam.

Selain itu, Raja Ilya turut berkongsi penghargaan terhadap syarikat produksi di Australia yang mempercayai dan menghargai bakat serta kerja kerasnya.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, dia telah terlibat dalam ratusan projek termasuk penggambaran korporat, kempen politik dan industri hartanah.

“Menjadi sebahagian daripada syarikat di Australia yang mengiktiraf hasil kerja saya adalah satu penghormatan besar. Saya bersyukur kerana Allah membuka jalan yang tidak pernah saya jangka,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon Soulmate Hingga Jannah itu turut memaklumkan bahawa dia masih aktif menghadiri sesi uji bakat untuk filem, siri televisyen dan iklan komersial di Australia.

“Buat masa ini kebanyakan kerja saya tertumpu di sini, namun apabila saya pulang ke Malaysia nanti, Insya-Allah saya akan menyambung semula kerjaya seni seperti biasa.

“Kepada semua yang merindui dan terus menyokong saya, terima kasih. Kita kekal berhubung melalui media sosial buat masa ini, dan apabila tiba waktunya nanti, anda akan lihat saya kembali di layar Malaysia,” katanya.

Raja Ilya mendirikan rumah tangga dengan warga Australia, Trent Garrett, pada 2018 dan dikurniakan dua cahaya mata, Talita Love, 3, dan Royal Abraham, 1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN