KUALA LUMPUR: Penyanyi dan anggota kumpulan Elite, Linda Rafar akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar selepas beberapa hari mendiamkan diri berhubung khabar angin yang mendakwa dia mahu meninggalkan kumpulan berkenaan.
Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abdul Rafar, 47, mengakui emosinya masih belum stabil sepenuhnya namun memilih untuk tampil memberi penjelasan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan peminat.
“Mohon maaf, ketika ini emosi saya tidak berapa stabil. Baru hari ini saya mampu berkongsi sedikit mengenai apa yang berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Linda, dirinya amat terkesan dengan kecaman netizen yang mempertikaikan kehadirannya bersama kumpulan Elite dan menyarankan supaya dia berhenti menyanyi kerana faktor usia.
“Ada yang menulis supaya saya duduk di rumah dan beramal ibadah kerana sudah tua. Komen-komen seperti itu membuatkan saya berfikir bukan-bukan, sampai saya salahkan diri sendiri,” ujarnya.
Bagaimanapun, Linda memaklumkan selepas berbincang dengan pengurusnya, Iman Tang, serta rakan-rakan kumpulan Elite yang lain, mereka sebulat suara tidak bersetuju dengan hasratnya untuk menarik diri.
“Mereka tidak setuju saya keluar dari Elite, tambahan pula saya masih ada tanggungjawab terhadap beberapa persembahan besar, kerja ‘endorsement’ dan komitmen lain bersama kumpulan.
“Saya tak boleh mementingkan diri. Buat masa ini, saya perlukan sedikit masa dan doa semua pihak agar ada jalan penyelesaian sebelum konsert GenKRU nanti,” katanya.
Linda turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang terus memberikan sokongan moral kepadanya sejak awal pembabitannya dalam dunia seni.
“Saya sayang Elite dan semua peminat yang sudah bersama saya sejak remaja. Harap semua faham keadaan saya dan beri ruang untuk saya berehat serta memulihkan semangat yang hilang,” katanya.
Terdahulu, pada Rabu lalu, Linda menimbulkan tanda tanya apabila memuat naik hantaran di laman sosial Threads yang seakan-akan memberi bayangan dirinya akan menarik diri daripada kumpulan Elite akibat tekanan mental yang dihadapi.
“Hanya pada Allah sahaja saya berserah. Maafkan Linda jika tidak dapat sertai Elite lagi. Sedih sangat, nak tulis pun tak boleh. Moga Allah kuatkan Linda dalam apa jua keadaan,” tulisnya dalam hantaran berkenaan.
 
								
 
								 
								 
											









