Enggan tamak ambil semua tawaran berlakon buat Auddra - Sharifah Shahirah - Utusan Malaysia

Enggan tamak ambil semua tawaran berlakon buat Auddra – Sharifah Shahirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon dan personaliti popular, Sharifah Shahirah, mengakui dirinya tidak mahu terburu-buru mahu pun bersikap tamak dalam menerima sebarang tawaran lakonan untuk anaknya, Auddra, yang kini semakin mencuri perhatian selepas menyertai program Talk To My Manager terbitan Astro baru-baru ini.

Meskipun menyedari populariti anak gadisnya yang berusia 16 tahun itu semakin meningkat, Shahirah tetap berpegang pada prinsip untuk memastikan setiap langkah Auddra dalam industri seni dibuat dengan penuh pertimbangan dan bukan sekadar mengejar glamor semata-mata.

“Saya dah pernah lalui dunia lakonan, jadi saya tahu susah senangnya. Sekarang bukan macam zaman kami dulu boleh kerja 18 jam tanpa henti. Memang tak dinafikan ada banyak tawaran lakonan untuk Auddra setakat ini, tetapi saya tak ‘sapu’ semua. Tak boleh juga.

“Anak-anak sekarang ni generasi baharu, cepat penat. Jadi kalau boleh, memang kena ada had. Saya harap ada undang-undang yang jaga masa kerja budak-budak macam Auddra ini meskipun kita tahu anak-anak ada bakat dan berminat hendak menceburi bidang seni hiburan,”ujarnya.

Tambahnya lagi, dia tidak mahu anaknya terus dibebani dengan komitmen penggambaran yang panjang sehingga boleh menjejaskan emosi dan disiplin diri.

“Kalau ambil terlalu banyak episod, nanti susahkan orang lain. Saya tak nak jadi punca masalah pada produksi. Biar Auddra belajar dulu, disiplin, faham kerja, baru betul-betul masuk dunia lakonan,” katanya.

 

Populariti mendadak, tapi jiwa masih remaja

Selain itu, Shahirah turut berkongsi sisi peribadi Auddra yang menurutnya masih remaja biasa, ceria, lasak dan sukar duduk diam atau aktif.

“Dia ini memang ‘hyper’. Kalau bab sekolah itu, saya tengok dia macam kurang minat dan jangan tak percaya, dia boleh tidur dalam kelas ya!

“Tapi kalau ada aktiviti sukan atau program sekolah dia terus semangat. Itu sebab saya rasa patut benarkan dia untuk ceburi bidang seni ini sebab nampaknya dia cenderung ke arah seni.

“Lagipun, dia sejak dari kecil lagi pernah cakap, dia nak jadi macam saya” katanya berseloroh.

Menariknya, walaupun kelihatan selesa di hadapan kamera, Auddra sebenarnya masih belajar menyesuaikan diri dengan dunia hiburan yang semakin terbuka dengan media sosial.

“Dia suka TikTok, suka buat live. Tapi saya tetap kena pantau. Anak-anak ini, kita umpama main layang-layang, kita lepas, tarik, lepas, tarik.

“Kita tak boleh terlalu lepaskan sangat sebab dia masih budak. Kita takut kalau dia stres ke, depresi ke. Nampak gembira depan orang, tapi kita tak tahu dalam hati dia macam mana,”jelasnya.

Menjawab pertanyaan sama ada dia kini bertindak sebagai pengurus sepenuhnya kepada anaknya, Shahirah mengakui dia lebih selesa kekal sebagai ibu yang memantau setiap keputusan yang dibuat.

“Saya tak pernah ada pengurus pun sebelum ini. Saya jenis mak yang nak tahu semua. Dia buat apa, pukul berapa keluar dan balik, dengan siapa dia bersama, semua saya nak tahu.

“Saya takut kalau menyusahkan orang, sebab mood dia pun bukan selalu stabil,” katanya.

Jelasnya, dia juga berhati-hati memilih siapa yang akan menjaga atau mengiringi Auddra ke lokasi penggambaran pada masa akan datang.

“Kalau boleh saya nak perempuan, yang boleh dipercayai dan boleh memandu. Sebab saya pun risau kalau lambat ke, tersalah tempat ke. Auddra ini baru nak mula, biarlah semuanya berjalan dengan baik.

“Saya tahu orang tengok Auddra ini comel, berbakat, tapi saya tak nak dia hanyut. Saya nak dia jadi orang baik dulu. Popular itu bonus.

“Jangan cepat sangat nak jadi popular. Dunia sekarang laju, tapi jiwa budak-budak tu kena dijaga. Saya belajar dari ramai contoh artis antarabangsa misalnya, Michael Jackson, Beyonce, semua itu,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN