KUALA LUMPUR: Pelakon, Linda Hashim meluahkan rasa bengang terhadap tindakan bekas suaminya, Beego, yang disifatkan sengaja mahu menonjolkan imej ‘ayah penyayang’ dengan memuat naik video lama anak sulung mereka, Jelita Clarissa, ketika belum bertudung.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkata, dia kesal apabila anak-anak dijadikan alat untuk membina imej di khalayak.
Sedangkan, katanya, perkara itu hanya menambah tekanan kepada anak-anak yang sudah memahami situasi rumah tangga ibu bapa mereka.
“Dia mahu tunjuk baik pada orang ramai kononnya rapat dengan anak dan bertanggungjawab sebagai ayah, tapi hakikatnya menggunakan anak-anak.
“Anak-anak faham keadaan kami, jadi jangan heret mereka dalam masalah orang dewasa.
“Jangan guna anak-anak saya untuk meraih simpati,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Filem Hayya 3: Gaza di Pavilion Bukit Jalil, di sini, kelmarin.
Selain itu, menurut Linda, tindakan Beego itu turut membuatkan anak mereka berasa malu apabila video berkenaan tular semula.
“Kebetulan anak saya ternampak video itu dan terus meninggalkan komen. Dia sangat malu nak ke sekolah sebab sekarang dia sudah pun berhijab,” ujarnya.
Sebelum ini, Jelita menegur bapanya secara terbuka selepas Beego memuat naik video lama tersebut, namun pelakon lelaki itu dilaporkan telah memohon maaf kepada anaknya.
Untuk rekod, pasangan selebriti itu pernah bercerai pada 27 Mac 2023 dan rujuk semula pada 9 April 2023, namun kembali berpisah beberapa bulan kemudian selepas gagal mencapai persefahaman.
Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, Anggun Cassandra, dan Indah Camelia.










