KUALA LUMPUR: Penyanyi, Liza Hanim, meluahkan rasa syukur dan bangga terhadap anak sulungnya, Marsya Qistina, yang bakal beraksi di pentas akhir program realiti Talk To My Manager (TTMM) malam ini.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abd Halim menitipkan kata semangat buat anaknya itu yang disifatkannya sebagai seorang pejuang gigih dan tabah menempuh perjalanan seni.
“Mama tak pandai mengayat, tapi bacalah, ya. Kita dah sampai ke final Talk To My Manager, destinasi yang kita berdua sama-sama setuju untuk capai. Syukur Alhamdulillah.
“Perjalanan untuk sampai ke sini mengambil masa yang lama. Pernah juga membuatkan kamu hampir rebah, tapi semua itu menjadikan kamu lebih kuat.
“Ingat selalu, keluarga kita ialah pejuang. Apa pun yang berlaku malam ini, kamu tetap seorang pemenang,” ujarnya.
Selain itu, Liza turut menzahirkan doa agar Marsya diberikan ketenangan dan kekuatan menjelang persembahan penting itu.
“Ya Allah, permudahkan urusan Marsya Qistina pada malam ini.
“Murahkan rezekinya, cekalkan hatinya, tenangkan perasaannya, dan berikan kejayaan di dunia serta akhirat. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamiin,” katanya.
Marsya Qistina sebelum ini mencuri perhatian ramai menerusi persembahannya yang bertenaga sepanjang program Talk To My Manager, dan kini mara ke peringkat akhir bersama beberapa peserta lain yang turut menjadi tumpuan peminat.
Malam ini, selain Marsya (Liza Hanim), pentas pertandingan Grand Finale TTMM turut akan menyaksikan peserta lain iaitu Ammar (Ameng Spring), Amad (Siti Saerah), Thalita (Shuib), Hadie (Ina Naim) dan Auddra (Sharifah Shahirah).