SHAH ALAM: Anak kepada penyanyi, Siti Saerah, Ahmad Dayyan atau lebih mesra disapa Amad, mencuri perhatian ramai apabila tiba-tiba pengsan sejurus selepas melakukan persembahan terakhir di pentas Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.
Amad, 13, dilihat tidak bermaya sebelum diangkat oleh pengurus lantai (floor manager) dan dibawa ke belakang pentas oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan.
Kejadian tersebut turut mencemaskan ibunya, Siti Saerah, yang kelihatan sebak dan hampir menitis air mata sambil ditenangkan oleh rakan-rakan pengurus lain.
Suasana di dalam auditorium bertukar hiba apabila penonton mula menyebut nama Amad sebagai tanda sokongan kepada peserta cilik itu.
Sebelum itu, beberapa minit sebelum memulakan persembahan, Amad kelihatan kurang sihat selain sempat menyebut ‘sakit’ sebelum cuba ditenangkan oleh ibu serta pihak produksi.
Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, Amad
kembali ke pentas dalam keadaan masih mengesat air mata dan meneruskan persembahan dengan penuh semangat menerusi lagu Cinta Kerna Cinta nyanyian asal Judika.
Persembahan tersebut turut mendapat suntikan semangat apabila Amad dipeluk oleh pengacara tersohor Datuk Aznil Nawawi serta ibunya sendiri sebagai tanda sokongan moral.
Selain Amad, lima lagi peserta iaitu Thalita,Marsya, Hadie, Ammar dan Auddra turut berentap merebut gelaran juara musim ini.
Kesemua peserta diadili oleh dua juri tetap, Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal, bersama juri jemputan, Datuk Syafinaz Selamat.
Program Talk To My Manager yang dikendalikan oleh Datuk Aznil Nawawi disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan turut boleh distrim di platform Astro Go setiap Ahad, pukul 9 malam.
Malam kemuncak turut dimeriahkan dengan persembahan khas daripada kumpulan Alpha.