KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dan selebriti digital popular, Che Sayang mendedahkan, dunia masakan pada awalnya bukanlah minat utamanya.
Bagaimanapun, kata Che Sayang atau nama sebenarnya Abdul Qayyum Halid, masakan kemudiannya menjadi pembuka jalan buatnya untuk memulakan kerjaya dalam dunia penciptaan kandungan.
“Sebenarnya saya bukan betul-betul minat masak, tapi itu benda paling senang nak mulakan. Waktu itu, saya kena masak sendiri, selalu tanya mak resepi, tengok pencipta bahan kandungan lain seperti Cik Nom, Khairul Aming yang hasilkan video masakan.
“Saya cuba buat, dan menjadi. Lama-lama orang terima, minat pun mula berkembang,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Periuk Nasi Tefal Delirice Max X Rasa Rosz di sini baru-baru ini.
Menurut Che Sayang, dia mula serius menghasilkan kandungan masakan sejak tahun 2023 selepas melihat ramai individu daripada latar belakang berbeza, termasuk jurutera, mampu berjaya dalam bidang itu.
“Masakan ini sebenarnya eksperimen. Macam jurutera, ada disiplin satu persatu. Dalam masakan pun sama, dalam menghasilkan bahan kandungan pun kena susun.
“Kadang-kadang masak tak semestinya viral, tapi bila tahu cara susun konten, orang suka,” jelasnya.
Che Sayang juga berpendapat kandungan masakan mempunyai ‘kelebihan semula jadi’ kerana makanan adalah sesuatu yang dekat dengan semua orang.
“Semua orang mesti makan, jadi lebih mudah diterima. Berbanding kandungan lawak yang makin lama makin susut idea, masakan pula ‘evergreen’,” tambahnya.
Mengulas mengenai nasihat kepada anak muda terutama pelajar SPM yang masih mencari hala tuju, Che Sayang menegaskan kepentingan mengutamakan pendidikan sebelum terjun ke dunia penciptaan kandungan sekiranya minat.
“Saya dulu dalam bidang IT, kerja data. Ilmu masa belajar banyak membantu seperti analitik dan sebagainya. Yang penting, belajar dulu. Jangan terus terjun nak jadi content creator. Kalau tak pernah ada disiplin, senang hanyut. Sebab viral ini ada tempoh masa.
“Sekejap orang viral, lepas tu hilang. Yang bertahan 7 atau 8 tahun itu sangat jarang. Orang berjaya ialah yang boleh adapt ikut keadaan dan jaga disiplin,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengenai acara yang berlangsung, pemilik Restoran Rasa Rosz, Datuk Sri Rozita Ramelan meluahkan rasa terharu dan bangga dengan kerjasama yang terjalin dengan pihak Tefal menerusi pelancaran periuk nasi berinovasi terbaharu itu.
“Makanan yang baik datang daripada konsistensi dan kualiti. Tefal berjaya menghasilkan peralatan yang membantu tukang masak di rumah mencapai tahap kesegaran optimum. Kami bangga bekerjasama dalam pelancaran yang menghormati tradisi kulinari negara,”katanya.
Acara itu turut dihadiri Pengarah Pemasaran Tefal Malaysia, Mr. Johann Ng serta Naib Presiden Tefal Asia Tenggara, William Yates.