Kes culik Amri, Pastor Koh: Rayuan keputusan mahkamah tidak nafi hak keluarga mangsa

Kes culik Amri, Pastor Koh: Rayuan keputusan mahkamah tidak nafi hak keluarga mangsa

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah dalam kes kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh tidak sesekali menafikan hak keluarga mangsa.

Sebaliknya ia mengikut prinsip keadilan sejagat bagi memastikan proses undang-undang disemak dan dijalankan sepenuhnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan Peguam Negara memfailkan rayuan tidak wajar dilihat sebagai usaha kerajaan mengelak tanggungjawab atau menafikan hak keluarga mangsa.

Namun itu merupakan langkah selaras dengan prinsip undang-undang yang memberi ruang kepada semua pihak melalui proses kehakiman sewajarnya.

Katanya, ia merupakan proses biasa dalam sistem kehakiman dan memberi ruang semakan semula terhadap dapatan penghakiman terutama apabila kes melibatkan implikasi undang-undang dan kewangan yang besar kepada kerajaan.

“Dalam sistem keadilan sejagat, setiap pihak berhak diberi peluang penuh melalui proses perundangan, termasuk mengemukakan rayuan. 

“Ini bukan soal kerajaan memandang rendah nyawa atau hak individu tetapi memastikan segala keputusan diteliti mengikut lunas undang-undang,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH–Ledang) mengenai tindakan kerajaan susulan keputusan mahkamah terhadap kes kehilangan Amri dan Pastor Koh.

Menurut Saifuddin, siasatan terhadap kedua-dua kes itu tidak pernah ditutup, malah Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menubuhkan pasukan penyiasat khas baharu yang diketuai pegawai berpangkat Asisten Komisioner.

Langkah itu katanya, bagi meneliti semula semua bahan siasatan termasuk laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), laporan Pasukan Petugas Khas dan keterangan tambahan.

“Pasukan ini telah memulakan kerja mereka. Mereka akan meneliti semula semua kertas siasatan terdahulu dan mendapatkan maklumat baharu. Kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.

“Rayuan yang difailkan Peguam Negara bukan bertujuan melindungi mana-mana pihak atau menghalang kebenaran. Ia adalah sebahagian daripada proses undang-undang kerana kerajaan juga berhak mendapatkan penjelasan kehakiman sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Dalam keputusan pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan PDRM gagal menjalankan siasatan sewajarnya dalam kes kehilangan Amri dan memerintahkan pampasan RM3.3 juta dibayar kepada isterinya.

Bagi kes Pastor Koh, mahkamah turut memutuskan kerajaan gagal menjalankan siasatan sewajarnya dan mengarahkan pampasan RM37 juta dibayar selain polis diarahkan melaporkan perkembangan siasatan setiap dua bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN