KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM500 kepada penjawat awam di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membuat pengumuman itu semasa sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
“Ia (bonus) tiada dalam pembentangan asal. Saya sudah beritahu kepada Pegawai Kewangan Negeri bahawa saya tidak akan sebut (mengenai bonus) dalam pembentangan bajet (Belanjawan Terengganu 2026) tetapi saya akan sebut semasa penggulungan.
“Ada orang tidak sabar. Saya percaya yang tidak sabar itu bukan kakitangan awam Terengganu pun. Mereka mungkin tidak ada kena mengena pun dengan kakitangan awam negeri Terengganu. Yang Dipertua, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kerajaan negeri bersetuju memberi bonus kepada kakitangan awam Terengganu dengan jumlah RM500, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










